Kuala Terengganu: Seramai 2,262 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ditugaskan untuk memantau bekalan sepanjang perayaan Aidiladha.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, ia bagi memastikan rantaian bekalan untuk pengguna tidak terjejas selain memantau sekiranya berlaku kenaikan harga sepanjang musim perayaan itu.
Beliau berkata, operasi berterusan tetap dijalankan untuk memantau sebarang kenaikan harga atau kekurangan bekalan barangan keperluan harian di pasaran.
“Mungkin isu membabitkan barangan keperluan harian tidak timbul ketika Aidiladha seperti perayaan Aidilfitri, namun kita tetap pantau untuk melindungi pengguna.
“Bagaimanapun, kita beri jaminan bekalan mencukupi dan orang ramai tidak perlu bimbang.
“Selain itu, kita meminta badan bukan kerajaan (NGO) atau sukarelawan mendapatkan bekalan bakul makanan daripada pemborong setiap negeri.
“Tindakan itu bagi mengelak situasi panik dalam kalangan pengguna jika melihat rak di pasar raya kosong terutama menjelang musim perayaan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan kebenaran makan di kedai atau restoran kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu hadapan.
Katanya, pemohonan itu antara perkara akan dikemukakan kerana sedar tekanan dihadapi pemain industri dalam memastikan kelangsungan perniagaan masing-masing.
“Permohonan ini sebagai langkah permulaan memulih dan merancakkan semula sektor ekonomi yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita harap MKN dapat mempertimbangkan kelulusan cadangan itu dalam kadar segera khususnya di negeri yang berada pada Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
Sumber: My Metro