229 Pengusaha Kantin Dan Dewan Makan Terima Bantuan Prihatin Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Seramai 229 pengusaha kantin dan dewan makan asrama di Daerah Pekan menerima Bantuan Prihatin Pahang (BBP) daripada Kerajaan Pahang di Pejabat Pendidikan Daerah Pekan, semalam.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin yang juga Ahli Dewan Negeri Bebar berkata, sumbangan ini bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama penerima Bantuan Prihatin Pahang.

Katanya, BPP ini merupakan salah satu usaha murni Kerajaan Negeri Pahang, idea dari YAB Menteri Besar Pahang sendiri untuk menjamin kebajikan rakyat.

“Di bawah BPP Fasa 3, YAB Menteri Besar memberi tumpuan tambahan kepada pelbagai golongan rakyat termasuk penjaja kecil yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), nelayan yang berdaftar di Pahang serta pengusaha dan pekerja kantin ataupun dewan makan asrama sekolah.

“Sesungguhnya kita di Pahang ini harus bersyukur dikurniakan pemimpin Kerajaan Negeri yang bekerja siang dan malam, mencari pelbagai kaedah dan berusaha sebaik mungkin membela nasib rakyat.

“Kesemua sumbangan ini dapat diberikan kerana Kerajaan Pahang berada di landasan yang betul, mentadbir negeri ini dengan jelas dan amat baik sekali, hasil pendapatan negeri terus meningkat malahan politik di Negeri Pahang ini amat stabi,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA