22,926 calon SPM, STPM mula bersekolah di Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – [DIKEMASKINI] Seramai 22,926 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi kohort 2020 telah memulakan sesi persekolahan di 153 buah sekolah di negeri ini pada Rabu.

Daripada jumlah itu, 17,913 pelajar merupakan calon SPM dan 5,013 calon STPM di sekolah manakala seramai 837 orang lagi merupakan calon persendirian SPM.

Hasil tinjauan pada Rabu mendapati kesemua pelajar telah mula hadir ke sekolah seawal jam 7.15 pagi dengan diawasi guru dan perlu melalui proses pemeriksaan suhu sebelum dibenarkan memasuki kawasan sekolah.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani berkata, pihak sekolah termasuk pengetua dan guru serta pelajar diwajibkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan kerajaan.

“Kita harap pihak sekolah sama ada pengetua, guru dan seluruh kakitangan sekolah serta pelajar dapat mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan sepanjang berada di sekolah sama ada semasa datang, balik sekolah, balik ke asrama dan semasa berada di rumah bagi pelajar yang tidak tinggal di asrama.

“Langkah ini perlu bagi mengekang dan memastikan tiada penularan kes Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan kehadiran calon SPM pada hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Razali Ismail di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengetua SMK Datuk Razali Ismail, Sabariah Abd Mubin.

Dalam pada itu, Salim turut mengingatkan agar SOP dapat difahami dengan jelas dan dipraktikkan.

“Pihak pengetua diminta sentiasa memberi kefahaman mengenai pematuhan SOP serta normal baharu kepada ibu bapa dan semua pelajar.

“Kita khuatir, jika berlaku kes positif, ia bukan sahaja akan menjejaskan sesi pembelajaran secara bersemuka bukan sahaja kepada pelajar, tetapi kepada semua kelas dan sekolah,” katanya.

Selain calon SPM dan STPM, seramai 203 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) manakala Sijil Vokasional Malaysia (SVM) membabitkan seramai 362 calon turut ke sekolah hari ini.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan hanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020 dan 2021 dibenarkan mengikuti pembelajaran secara bersemuka di sekolah dalam kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumber: Sinar Harian