23 Anggota SPRM Diberhenti, Kena Tindakan Kerana Salah Laku

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA: Seramai 23 anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenakan tindakan tatatertib termasuk diberhentikan kerja kerana terbabit dalam salah laku bagi tempoh 2020 sehingga 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM, Datuk Dr Asariah Mior Shaharuddin, berkata kesalahan tatatertib yang dilakukan oleh anggota termasuk salah laku, cuai, tidak hadir bertugas dan terlibat dengan aktiviti jenayah.

Daripada jumlah berkenaan, beliau berkata, 10 anggota diberhentikan kerja kerana terbabit dengan aktiviti jenayah dan majoriti daripada yang dikenakan tindakan tatatertib adalah anggota baharu SPRM yang berkhidmat kurang daripada 10 tahun.

“Walaupun jumlah yang dikenakan tindakan tatatertib adalah kecil, iaitu 0.3 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota SPRM seramai 2,800 orang, namun ia tidak harus dipandang ringan kerana masyarakat menaruh harapan yang tinggi terhadap SPRM.

“SPRM harus dilihat bersih dan mempunyai anggota yang berintegriti tinggi dan tidak berkompromi dengan sebarang salah laku,” katanya kepada Bernama baru-baru ini di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Asariah berkata, JKA yang juga satu daripada lima jawatankuasa bebas yang ditubuhkan melalui Akta SPRM 2009, bertanggungjawab untuk memantau cara SPRM mengendalikan aduan yang tidak bersifat jenayah terhadap pegawai-pegawainya.

Selain itu, katanya, JKA juga bertindak mengenal pasti kelemahan tatacara kerja yang mungkin menimbulkan sebarang aduan dan mencadang syor yang difikirkan sesuai.

“Sepanjang 14 tahun JKA ditubuhkan sebanyak 31 cadangan penambahbaikan prosedur operasi kerja SPRM sudah dikemukakan dan yang terbaru membabitkan kawalan dalaman mengenai keterhutangan kewangan yang serius, kawalan dalaman mengenai kehilangan barang kes dan memperkukuhkan sistem pengurusan aduan dalaman SPRM,” katanya.

Pada masa yang sama, Asariah berpendapat badan pencegah rasuah itu telah menjalankan peranannya dengan baik bagi memupuk sifat integriti dan tata kelola yang baik dalam diri setiap anggotanya.

Beliau berkata, SPRM sudah mewujudkan Pelan Antirasuah SPRM 2021-2025 dan Kod Etika dan Tatakelakuan SPRM di samping melaksanakan program-program pengukuhan integriti antaranya menubuhkan Cawangan Hal Ehwal Dalaman pada tahun lepas bagi menyiasat kes jenayah melibatkan pegawai SPRM di bawah Akta SPRM 2009.

“SPRM juga mewujudkan Unit Agama dan Kaunseling yang juga satu langkah yang baik bagi memberi sokongan kepada anggotanya dari segi moral untuk melaksanakan tugas.

“Terkini, SPRM juga menunjukkan keseriusan dalam memastikan SPRM bebas daripada dadah dan bahan terlarang seperti ketum melalui Arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Sebarang pelanggaran boleh dikenakan hukuman tatatertib termasuk buang kerja,” katanya. 

Sumber: BERNAMA