Jempol : Warga Indonesia yang menetap di sekitar Jempol menerima sumbangan keperluan makanan daripada Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.
Sumbangan itu bagi meringankan beban rakyat negara berkenaan yang turut terjejas dengan pandemik Covid-19.
Bagi seorang penerima, Heny Andriyani Sunardi, 42 dari Bahau, dia gembira kerana menerima bantuan makanan yang disediakan oleh Kerajaan Indonesia.
“Pada masa sama, saya juga gembira kerana rakyat negara ini banyak membantu saya dan keluarga ketika memerlukan,” katanya yang bekerja sebagai pembancuh simen.
Heny Andriyani berkata, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, dia kini bercuti dan duduk di rumah.
Bagi seorang warga emas Indonesia, Noraini Salleh, 65, bantuan makanan itu sangat memberi manfaat kepadanya dan keluarga.
“Terima kasih kepada pemerintah kerana turut mengingati warganya yang berada luar Indonesia dan membantu rakyatnya yang terjejas akibat Covid-19,” katanya yang menetap di negara ini sejak 1981.
Seramai 243 warga Indonesia menerima bantuan kotak makanan yang mengandungi antaranya beras, minyak masak, mi segera dan sardin.
Urusan pengagihan itu kemudian dilaksanakan sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO ) Jempol We Care bersama sukarelawannya.
Sumber: My Metro