25 nelayan Vietnam didenda RM7 juta ceroboh perairan negara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Seramai 25 nelayan warga Vietnam termasuk empat tekong didenda sebanyak RM7 juta oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana menceroboh perairan negara untuk menangkap hasil laut.

Kesemua tertuduh berusia 24 hingga 53 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menangkap hasil laut iaitu ikan dan gamat tanpa permit sah yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dalam perairan Perikanan Malaysia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di perairan Kelantan berdekatan Tok Bali, Pasir Puteh dan Kuala Besar, Kota Bharu antara 23 Februari tahun ini sehingga 25 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 24(1) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 dibaca bersama Seksyen 52 (1) (a) (i) dan (ii) akta yang sama.

Hukuman mengikut Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 memperuntukkan denda tidak lebih RM6 juta setiap orang dalam hal empunya atau nakhoda dan RM600,000 setiap kru.

Manakala Seksyen 52(1)(a)(i) dan (ii) Akta Perikanan 1985 pula memerintahkan vesel (termasuk peralatan) yang digunakan dilucuthakkan dan hasil semua tangkapan dilucuthakkan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Haryati Abdullah dan tujuh tertuduh diwakili peguam Muhammad Hasif Hassan, manakala 18 tertuduh lagi tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Haryati memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap semua tertuduh kerana menceroboh perairan negara.

Mahkamah kemudian mengenakan denda antara RM200,000 sehingga RM600,000 untuk setiap tertuduh dan gagal bayar boleh dipenjara antara enam hingga lapan bulan.

Seramai 25 nelayan warga Vietnam berusia antara 24 hingga 53 tahun termasuk empat tekong dikenakan denda sebanyak RM7 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Seramai 25 nelayan warga Vietnam berusia antara 24 hingga 53 tahun termasuk empat tekong dikenakan denda sebanyak RM7 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini. Foto Nik Abdullah Nik Omar

Sumber: My Metro