266 Buah Rumah Rakyat Pahang Dibina Tahun Depan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Sebanyak 266 buah Rumah Rakyat Pahang (RRP) bakal dibina pada tahun depan bagi meneruskan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, usaha Kerajaan Negeri tidak pernah terhenti malah tambahan kos rumah berkenaan tetap ditanggung.

“Kita sedia maklum kos bahan binaan sudah meningkat dan Kerajaan Negeri masih mampu untuk menyediakan Rumah Rakyat Pahang mengikut apa yang dijanjikan.

“Kita bermula dengan Rumah PR1MA Pahang dengan harga RM150,000, namun ada rakyat yang tidak mampu sebelum muncul dengan inisiatif Projek Rumah Makmur yang berharga RM80,000 sebagai penambahbaikan kepada program PR1MA Pahang, tapi kita dapati masih ramai lagi yang tak mampu memiliki rumah Rumah Makmur sehingga tercetusnya idea projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) oleh YAB Menteri Besar Pahang yang diberikan secara percuma,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda ketika sesi taklimat Projek Pembangunan Rumah Penjawat Awam Pahang (RPAP) dan Skim Tanah Warisan (STW) tahun 2021 di Swiss-Belhotel, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas sesi taklimat Projek Pembangunan Rumah Penjawat Awam Pahang (RPAP) dan Skim Tanah Warisan (STW) tahun 2021 di Swiss-Belhotel.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Semantan, YB Dato’ Haji Azmi Mat Ludin, Ahli Dewan Negeri (ADN) Muadzam Shah, YB. Ir Razali Kassim dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Puan Ismayati Ismail.

Sementara itu beliau berkata, tunggakan sewa bagi Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di negeri ini telah mencecah RM10 juta akibat wabak pandemik COVID-19 melanda sejak 2019.

“Sebelum ini kita buat kutipan on the ground, tapi masa PKP, PKPD mungkin sukar untuk mereka datang bayar.

“Sekarang kita mudahkan penyewa untuk membayar melalui PahangGo, selain kempen diadakan bagi menggalakan mereka membayar sewa kembali. Contohnya, kita bagitahu mereka akan dapat geran bila sudah habis bayar.. Jadi mereka bolehlah nak jual atau cagar selepas habis bayar.. terpulang pada mereka ,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA