Sultan, Sultanah Terengganu Berkenan Kurnia Sumbangan Sempena Aidilfitri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – KDYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin serta KDYMM Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu berkenan berangkat ke  Majlis Pengurniaan Sumbangan Sempena Hari raya Aidilfitri 1443 Hijrah di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.

Seramai 200 golongan fakir miskin dari semua daerah Terengganu menerima bantuan berupa wang tunai berjumlah RM500 dan hamper yang mengandungi barangan asas harian yang bernilai RM250 seorang.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) Datuk Mohd Fadli Yusof berkata, yayasan itu membelanjakan sebanyak RM228,750 untuk membantu meringankan bebanan golongan kurang bernasib baik membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Menurutnya, majlis pengurniaan sumbangan sempena Aidilfitri kepada golongan fakir miskin adalah acara tahunan diadakan setiap tahun oleh YDSM dan Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ).

Bagaimanapun, katanya, program itu terpaksa ditangguhkan selama dua tahun iaitu sejak 2020 berikutan penularan pandemik Covid-19.

Tambah beliau lagi “penularan pandemik Covid-19, memberi kesan kepada seluruh masyarakat terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.”

Turut berangkat adalah Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengerusi YTNZ Datuk Radzuan Radziwill.

Turut menerima bantuan seramai 25 pengayuh beca roda tiga, 210 murid dan pelajar daripada keluarga miskin daripada tiga sekolah rendah serta empat sekolah menengah serta 30 pelajar daripada madrasah dan pusat pengajian Islam.

Seramai 150 golongan miskin wanita turut dipilih untuk menerima kurniaan wang tunai berjumlah RM150 daripada YTNZ.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM