27,864 Kanak-Kanak di Pahang Telah Daftar Sebagai Penerima Vaksin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Sehingga 3 Februari 2022, seramai 27,864 kanak-kanak di Pahang telah mendaftar bagi Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids).

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus berkata, jumlah tersebut adalah 14.1 peratus daripada 197,700 orang kanak-kanak di seluruh Pahang yang telah didaftarkan oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing sebagai ‘dependent’ menerusi sistem mySejahtera.

“Suntikan bagi PICKids di Pahang akan bermula pada 7 Februari 2022 yang akan dimulakan di Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan yang disasarkan kepada kumpulan kanak-kanak comorbid yang layak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataannya kepada media, semalam.

Beliau berkata, sebanyak 78 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 akan dibuka yang melibatkan 11 SPPV, 60 Klinik Kesihatan (KK) dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) serta tujuh PPV Offsite akan menyediakan perkhidmatan pemberian vaksin COVID-19 ini.

Jelasnya, jumlah PPV ini berkemungkinan akan bertambah dari semasa ke semasa bergantung kepada liputan vaksinasi kanak-kanak di negeri ini.

Dato’ Dr. Nor Azimi berkata, pihaknya juga sedang memperhalusi beberapa PPV outreach di sekolah-sekolah bagi tujuan memudahkan proses pemberian vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak.

“Buat masa ini, satu jenis vaksin sahaja yang ditawarkan dalam PICKids iaitu Corminaty (Pfizer-BioNTech) untuk dos kanak-kanak,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA