SOUTHAMPTON, United Kingdom – Jurgen Klopp menggambarkan peluang Liverpool menang Liga Perdana sebagai “mungkin tidak tetapi boleh dilakukan” selepas pasukannya membawa pemburuan gelaran ke hari terakhir dengan kemenangan 2-1 mengatasi Southampton sebentar tadi.
Selepas Liverpool menewaskan Chelsea menerusi penalti pada final Piala FA hanya tiga hari lalu, Klopp memperjudikan pasukannya dengan sembilan perubahan di St Mary’s.
Walaupun menurunkan pasukan simpanan dan ketinggalan hasil jaringan awal Nathan Redmond, Liverpool membalas menerusi Takumi Minamino dan Joel Matip.
Skuad Reds hanya satu mata di belakang pendahulu, Manchester City dengan kedua-duanya masih ada baki satu perlawanan.
Pemburuan gelaran akan memihak kepada City jika mereka menang berdepan Aston Villa di Stadium Etihad Ahad ini.
Klopp menegaskan pada hujung minggu lalu bahawa dia tidak menjangkakan City akan mencicirkan mata berdepan Villa.
Namun Liverpool akan dimahkotakan selaku juara buat kali kedua dalam tiga musim jika menewaskan Wolves di Anfield dan City gagal mencipta kemenangan.
“Sudah tentu ia sukar kerana City bermain di laman sendiri berdepan Aston Villa, yang hanya akan bermain pada Khamis. Ia mungkin boleh, mungkin tidak tetapi boleh dilakukan. Ia sudah cukup,” kata Klopp.
“Ia perlawanan terakhir kami di laman sendiri, suasananya pasti menakjubkan, dan kami akan cuba menggunakannya.
“Sudah tentu ia boleh berlaku. Bola sepak kadangkala penuh muslihat. Peluang yang kami ada malam ini hanyalah untuk menang. Kami melakukan tugas itu. Kami tidak pernah putus asa.”
Skuad kendalian Klopp dijangka akan meneruskan tugas mereka berdepan Wolves terutama selepas pemain mereka yang sudah cergas boleh kembali bersama pasukan.
Sadio Mane, Luis Diaz, Andrew Robertson, Thiago Alcantara dan Trent Alexander-Arnold antara yang tidak beraksi menentang Southampton manakala Mohamed Salah dan Virgil van Dijk diketepikan kerana kecederaan di Wembley.
“Saya tidak pernah ada kumpulan pemain seperti ini. Mereka sentiasa memberi tekanan sesama sendiri. Pada penghujungnya, ia amat menakjubkan dan malam ini sangat istimewa,” kata Klopp.
“Kami mungkin ada lebih banyak masalah hari ini jika kami menggunakan pemain yang beraksi 120 minit pada Sabtu.
“Jika ia tidak menjadi, ia akan menjadi 100 peratus tanggungjawab saya. Kini ia berkesan dan pemain boleh berbangga.”
Sumber: BERITA HARIAN