KUALA TERENGGANU – Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Terengganu disaran berkerjasama dalam perluaskan dakwah bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata beliau yakin pertemuan 58 buah NGO dakwah mampu mengeratkan pemuafakatan dalam menjalankan gerakan dakwah lebih-lebih lagi dalam Tahun Semarak Dakwah yang dilancarkan kerjaan negeri pada tahun ini.
“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada YADIM di atas insiatif mempertemukan barisan pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Negeri Terengganu”.
“Ia sekaligus membuktikan keseriusan YADIM dalam menguruskan hal ehwal badan-badan Islam melalui Majlis Aman Islami Malaysia (MAIM) yang menjadi sebahagian fungsi teras utama YADIM dalam memasyarakatkan dakwah di Malaysia.
“Saya yakin pertemuan kali ini juga membuahkan resolusi-resolusi dan penemuan-penemuan yang baik untuk kepentingan kerajaan, umat, masyarakat dan NGO sendiri”.
Beliau berucap demikian di dalam Program Hari Terbuka NGO Islam Terengganu 2022 di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu di sini hari ini.
Program tersebut merupakan perhimpunan tahunan edisi kelima diadakan YADIM bagi menghimpunkan NGO Islam sejak tahun 2016.
Turut hadir Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah Dan Wanita, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Azhar Yahya dan Pengarah YADIM Negeri Terengganu, Nasrul Hadi Saiadin.
Sumber: UNIT BERITA MANIS FM