29 Lagi Pelajar SMKA Naim Lil-Banat Positif Covid-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Sebanyak 29 lagi kes positif Covid-19 membabitkan pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lil-Banat dan penduduk kampung dikesan semalam menjadikan keseluruhan 73 kes.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, Kluster Embi Telipot itu membabitkan pelajar asrama sekolah berkenaan di Kota Bharu yang kini menular ke Jeli.

Katanya, setakat ini hanya dua daerah yang dikesan terbabit dengan kluster itu dan ia dapat dikawal.

“Namun, pihak kita terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan kluster itu tidak merebak ke kawasan lain.

“Pelajar yang positif dan bergejala kita terus asingkan dengan bantuan pihak sekolah, manakala kontak rapat, mereka menjalani kuarantin di asrama sekolah.

“Mereka dipantau oleh pihak sekolah dan dibantu petugas kesihatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Zaini berkata, pelajar berusia 13 hingga 18 tahun itu dinasihatkan supaya terus menjaga diri dan memaklumkan kepada pihak sekolah sekiranya mereka mempunyai gejala.

Media semalam melaporkan, seramai 44 pelajar asrama sebuah sekolah berasrama penuh di Jalan Telipot di sini, positif Covid-19 sehingga kelmarin.

Dr Zaini berkata, kluster yang membabitkan pelajar asrama sekolah itu diisytihar pada 14 Januari lalu dan seramai 256 orang kontak rapat yang dikenal pasti.

Susulan itu, proses pengajaran dan pembelajaran bersemuka sekolah itu ditangguhkan bermula semalam sehingga 25 Januari ini.

Sumber: My Metro