2 Pingat Boleh Diraih Skuad Terjun Di Birmingham

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Tidak mustahil untuk skuad terjun menghadiahkan sekurang-kurangnya dua pingat di temasya Sukan Komanwel 2022 sekiranya momentum di Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary baru-baru ini dapat diteruskan di Birmingham nanti.

Taruhan sudah pasti disandarkan di bahu penerjun wanita, Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri yang menjelmakan gangsa dalam acara 10 meter (m) platform individu dan 10m platform seirama di Budapest.

Bagi pengurus pasukan, Datuk Leong Mun Yee, skuad kali ini – terutama dari Pandelela dan Nur Dhabitah – mampu mengukir warna pingat lebih baik berbanding gangsa di Budapest namun enggan terlalu memberikan tekanan kepada penerjun.

“Saya rasa setakat ini, kita adalah sasaran pingat tetapi bukan emas. Kita tak mahu memberikan tekanan kepada penerjun tetapi tidak mustahil (emas) sekiranya melihat kepada prestasi mereka.

“Apapun, kita tak mahu memberikan tekanan jadi adalah lebih baik daripada gangsa, mungkin perak,” kata Mun Yee yang pada penyertaan terakhirnya di Gold Coast 2018, menghadiahkan gangsa bersama Nur Dhabitah dalam acara 10m platform seirama wanita.

Acara berkenaan turut menyaksikan gandingan Cheong Jun Hoong-Pandelela meraih emas manakala Mun Yee-Nur Dhabitah menambah gangsa dalam acara 3m papan anjal seirama.

Skuad terjun akan dibarisi 12 penerjun sama yang beraksi di Sukan SEA Vietnam 2021 baru-baru ini dengan menyertai 11 acara daripada 12 yang dipertandingkan di Pusat Akuatik Sandwell nanti.

“Untuk 1m lelaki tak ada (sertai) kerana ada banyak acara kali ini seperti campuran seirama, jadi kita cuma memberikan tumpuan kepada acara di mana kita lebih kuat. Saya harap penerjun boleh menunjukkan prestasi mereka yang terbaik dan jangan terlalu tertekan dan kita boleh membuat kejutan,” kata Mun Yee.

Mun Yee, 37, turut menjelaskan yang skuad terjun wanita mempunyai kekuatan dalam acara 10m individu, 10m seirama, 3m seirama manakala acara tumpuan bagi lelaki adalah di 3m seirama.

“Untuk lelaki kita fokus kepada 3m seirama. Untuk individu sangat sukar kerana ia turut disertai pemenang pingat di Sukan Olimpik dan tentunya ia sukar,” kata Mun Yee yang pernah beraksi di lima Sukan Olimpik itu.

Sumber: BERITA HARIAN