Pearly-Thinaah Sasar Emas Sukan Komanwel

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah optimis mampu mengekalkan dominasi Malaysia dalam acara itu dengan menyumbangkan emas apabila membuat penampilan sulung di Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang bermula dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Thinaah, 24, berkata kejayaan menewaskan beregu nombor dua dunia dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota di pusingan kedua dan menumbangkan juara Terbuka Malaysia 2022 Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti di suku akhir Masters Malaysia minggu lalu memberi tonik tambahan kepada mereka untuk meneruskan penguasaan Malaysia di Birmingham.

“Sudah pasti memenangi emas (di Birmingham) adalah sasaran utama kami. Namun, kami tidak mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri sebaliknya akan mempamerkan prestasi terbaik dan berjuang habis-habisan,” katanya.

Beregu ranking ke-11 dunia itu berpeluang merekodkan hatrik buat Malaysia sekiranya berjaya memenangi emas di Birmingham sekali gus mempertahankan kejayaan diraih gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada edisi 2014 di Glasgow dan Vivian-Chow Mei Kuan di Gold Coast pada 2018.

Mengulas lanjut, Thinaah berkata dia dan Pearly bagaimanapun tidak boleh terlalu ghairah apabila menjangkakan cabaran sengit bakal dihadapi mereka dalam misi menjelmakan kilauan emas terutama daripada pasangan India, England dan Scotland.

“Masih ada beberapa hari lagi untuk kami buat persiapan. Ketika ini fokus kami adalah untuk meningkatkan lagi tahap fizikal kami. “Kami juga perlu perbaiki beberapa kelemahan yang mana kami perlu lebih agresif di dalam gelanggang dan mampu bertahan apabila bermain rali yang panjang,” kata Thinaah.

Sumber: BERITA HARIAN