3 Amalan Soleh Yang Boleh Menemui Anda di Alam Barzakh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Sepertimana kita tahu di dalam kubur itu sangat gelap gelita. Kita belum lagi menempa alam itu tetapi sudah didengarkan dengan cerita-cerita yang boleh membuatkan bulu roma berdiri tegak.

Itu belum ditambah lagi dengan kisah-kisah seram yang di dalam kubur. Walaupun ia adalah cerita seram yang tidak perlu diambil berat pun, namun tetap masyarakat kita menganggap bahawa ia adalah sesuatu yang perlu diambil kira.

Di alam kubur nanti, tiada siapa yang akan menemani kita. Ibu bapa kita akan pulang ke rumah semula selepas menghantar jenazah kita ke liang lahad. Suami atau isteri anda akan kembali menjalani hidup seperti biasa selepas anda dikebumikan. Cuma bezanya, kehidupan mereka adalah tanpa anda.

Harta yang selama ini anda kumpul tidak ditanam sekali. Pangkat yang anda raih juga ditinggal di belakang dan akhirnya digantikan dengan nama ‘allayarham.’ Betapa sunyinya di alam kubur nanti. Tidak ditambah lagi dengan kegelapan dan sempitnya ruang yang ada.

Maksud: “Apabila mayat (atau seseorang daripada kamu) telah dikuburkan, datanglah kepadanya dua malaikat hitam kebiru-biruan, seorang daripada keduanya dikenali dengan Malaikat Munkar dan seorang lagi dengan Malaikat Nakir. Keduanya berkata: “Apakah yang hendak engkau katakan mengenai lelaki ini?”

Dia berkata: “Dia adalah hamba Allah dan utusanNya. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah selain Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hambaNya dan utusanNya.” Keduanya berkata: “Sungguh, kami telah tahu bahawa engkau akan mengatakan demikian itu.” Kemudian dilapangkan baginya di dalam kubur sepanjang 70 hasta kali 70 hasta. Kemudian diberi cahaya baginya di dalamnya.” Kemudian dikatakan kepadanya: “Tidurlah engkau.” (Hadis Riwayat Tirmizi, No. 1071)

Amalan Yang Boleh Dilakukan

Sebenarnya, kita masih lagi belum keseorangan di alam kubur kerana ada amalan yang akan menemani anda. Jika baik amalan yang dilakukan, maka amalan yang baiklah yang akan menemani anda dan jika buruk amalan semasa kehidupan di dunia, maka yang buruklah akan menemaninya.

Jadi, bagi menjadikan kubur anda itu diterangi dengan cahaya dan bukan azab dari Allah, ada tiga amalan utama yang boleh anda lakukan iaitu;

1. Menjaga Amalan Wajib

Solat adalah tiang agama dan solat merupakan perkara utama yang akan dihisab di akhirat kelak. Jadi, jagalah solat anda terutamanya yang wajib. Sentiasa berusaha perbaiki amalan solat anda sama ada sebelum, semasa dan selepas solat.

Oleh itu, jangan mengambil perihal solat sebagai sesuatu yang sambil lewa kerana ia adalah perkara yang sangat besar yang boleh menentukan kehidupan anda baik di dunia mahupun di akhirat kelak.

2. Amalkan Bacaan Al-Mulk

Mungkin anda sering dengar bahawa surah Al-Mulk bukan sahaja dapat membantu meringankan seksa kubur tetapi ia juga boleh membantu menerangi kubur cahaya anda. Banyak kelebihan membaca surah ini dan umat terdahulu serta para sahabat juga sering mengamalkan membaca ayat ini.

Maksud: “Barangsiapa membaca Tabarokalladzi bi yadihil mulk (surah Al-Mulk) setiap malam, maka Allah akan menghalanginya dari seksa kubur. Kami di masa Rasulullah SAW menamakan surah tersebut sebagai al-Mani’ah (penghalang dari seksa kubur). Ia adalah salah satu surah di dalam kitabullah. Barangsiapa membacanya setiap malam, maka ia telah memperbanyak dan telah berbuat kebaikan.” (Hadis Riwayat Nasai dalam Al-Kabir 6/179 dan Al-Hakim. Al-Hakim menukilkannya sebagai sahih)

3. Bersedekah

Sentiasa infakkan (sumbang) harta ke jalan Allah kerana setiap dari sedekah dan perkara yang mengalir ke jalan Allah serta yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga sekeliling akan berbalik kepada anda jua di akhirat kelak.

Sedekah itu bukan sahaja melalui harta, namun boleh juga dalam bentuk ilmu atau perkongsian, asalkan ia adalah yang memberi manfaat buat semua orang.

Maksud: “Apabila mati seorang manusia, maka terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim, No. 1631)

Kesimpulannya, kehidupan ini adalah jambatan untuk ke akhirat. Jadi, setiap apa yang kita lakukan di dunia ini adalah sebagai bekalan buat kehidupan akhirat kita. Maka, banyak lagi amalan soleh yang boleh dilakukan untuk membantu menemani anda kelak. Semoga kita semua akan mendapat pengakhiran yang baik dan dilindungi daripada azab kubur serta seksaan di akhirat kelak.

Sumber: TZKRH.COM