3 cadangan laluan alternatif Cameron Highlands

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Cameron Highlands: Hasil kajian pembinaan jalan pintasan bagi mengurangkan kesesakan di pusat pelancongan tanah tinggi itu dan akan dibentangkan September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata, kajian membabitkan kawasan laluan dan jarak, kos pembinaan serta beberapa aspek lain.

Katanya, kajian menyeluruh yang mengambil masa lebih 13 bulan akan dibentang kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurutnya, projek berkenaan akan dilaksanakan oleh JKR namun akan dibentangkan kepada kerajaan negeri dan pusat bagi kelulusan berkaitan tanah.

“Setakat ini pihak perunding telah mengemukakan tiga cadangan laluan alternatif namun kesemua laluan berkenaan masih di peringkat perbincangan membabitkan pelbagai perkara.

“Bagi laluan alternatif ia akan membabitkan laluan sedia ada, namun akan dinaik taraf dengan membesarkanya selain menyediakan jalan pintasan di kawasan tertentu.

“Bagaimanapun, tiga laluan yang dicadangkan itu masih boleh diubah, mungkin sebahagian laluan A, kita akan guna separuh sebelum diteruskan ke laluan B. Inimengikut kesesuaian dan hasil kajian yang dijalankan,” katanya selepas lawatan ke 11 tapak cadangan laluan bagi Kajian Kesesakan Lalu Lintas Cameron Highlands di sini, semalam.

Beliau menambah, kerajaan berharap projek ini dapat menyelesaikan masalah kesesakan yang berlaku di kawasan pelancongan selain dapat diselesaikan dengan segera mengikut jadual.

Sumber: My Metro