3 Disember Hari Batik Malaysia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan tarikh 3 Disember setiap tahun, sebagai Hari Batik Malaysia, bermula tahun ini.

Dalam ucapan khas disiarkan melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) di saluran TV1 dan media sosial malam ini, beliau berkata, kerajaan berharap pengisytiharan hari itu dapat menggalakkan seluruh rakyat, sama ada pihak swasta dan masyarakat berbilang kaum untuk memakai pakaian batik Malaysia.

Katanya, usaha berkenaan bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia, iaitu seluruh rakyat berbilang kaum bersatu hati dalam menggayakan keunikan dan keindahan batik tempatan.

“Saya percaya pengisytiharan hari tersebut juga dapat menjadi pemangkin kepada pemerkasaan industri kraf batik tempatan dan rantaian pengeluaran batik negara,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pemilihan tarikh itu yang dipersetujui Jemaah Menteri pada Jumaat lalu sebagai tanda penghargaan atas sumbangan, sokongan dan minat dalam kraf batik ditonjolkan Allahyarhamah Tun Endon Mahmood, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia Kelima, Tun Abdullah Badawi.

Perdana Menteri berkata, pada tarikh sama pada tahun 2003, Allahyarhamah memulakan gerakan Malaysian Batik-Crafted for the World untuk membawa batik tempatan ke persada antarabangsa.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Kabinet juga menetapkan setiap hari Khamis sebagai hari pemakaian batik Malaysia untuk semua penjawat awam dan Keluarga Malaysia, termasuk di Parlimen.

Sumber: Berita Harian