Pernahkah kita mendengar apakah itu hasad? Boleh jadi kita sendiri memiliki hasad di dalam hati, boleh jadi juga hati anda sedang dihuni oleh hasad tanpa sedar. Mungkin kita pernah atau sedang menghidapi penyakit hasad sekarang ini.
Hasad bukanlah suatu yang menjadi kebanggaan dan terpuji. Bahkan suatu sifat yang jelik dan tercela.
Imam Nawawi di dalam kitab Riyadhussolihin mentakrifkan hasad sebagai seseorang yang tidak gembira kalau saudaranya mendapatkan sesuatu, sedangkan ia sendiri akan gembira kalau memperolehnya, maka orang yang sedemikian ini disebut orang dengki.
Buya Hamka juga di dalam Tafsir al-Azhar, mentafsirkan ayat kelima dari surah al-Falaq bahawa hasad sebagai satu penyakit yang tidak waras dimana seseorang itu akan mempunyai rasa sakit hati ketika melihat nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada seseorang sekalipun pemberian Allah itu tidak merugikan dirinya.
Mengetahui erti hasad saja sudah membuatkan kita tidak senang sebenarnya. Kerana ia suatu perkara yang tidak terpuji, bahkan satu penyakit yang tersembunyi. Sudah pasti, hasad itu akan memberi kesan bukan sahaja kepada orang yang dihasadkannya, tetapi juga kepada empunya diri yang mempunyai hasad dalam hatinya.
Tidak keterlaluan untuk dikatakan, bahawa sesiapa yang mempunyai hasad dalam dirinya, sebenarnya adalah seseorang yang tidak tenang jiwa dan kehidupannya. Kerana apa? Kerana dia selalu melihat-lihat apa yang ada pada orang lain disertai dengan pandangan yang tidak berpuas hati. Dan tidak hairan sebenarnya jika dalam tanpa sedar, akan muncul kekufuran nikmat di dalam diri.
Justeru apa sebenarnya kesan-kesan hasil daripada hasad?
1. Jauh Daripada Allah ‘Azza Wa Jal
Bagaimana sifat dengki boleh menyebabkan kita jauh daripada Allah? Sedangkan kita hanya merasa dengki kepada Allah? Begitulah rumit urusan hati. Hati itu sangat rapuh. Sampai-sampai apa-apa yang memasuki fikiran dan hati, akan mempengaruhi bukan sahaja diri kita secara fizikal. Bahkan akan mempengaruhi kesihatan rohani dan iman kita keseluruhannya.
Allah SWT berfirman, “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. Bagi orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kurniaan-Nya.” (Surah An Nisaa’ 4: 32)
Apa kaitan dengki dan akan jauh daripada Allah? Kaitannya, adalah kerana kita akan sentiasa sibuk memikirkan apa yang ada pada orang lain dan apa yang tiada pada kita, tanpa kita sedar lama-kelamaan kita sudah membela jiwa yang tidak bersyukur kepada Allah.
Kita kan mulai menjadi seseorang yang tidak bersyukur dengan kurniaan Allah yang ada pada kita dan akhirnya tidak mustahil kita akan menjadi seseorang yang sudah tidak berdoa lagi kepada Allah dalam kehidupan.
2. Hilang Sifat Simpati dan Empati Dalam Diri
Pernahkah kita mendengar bahawa sifat hasad sebenarnya tidak harus ada dalam diri seorang Muslim. Kerana orang Islam itu diajar dan digalakkan untuk saling berkasih-kasihan, menolong antara satu sama lain. Jika saudara kita sedang bahagia dengan kehidupannya, maka kita juga akan bahagia. Jika keadaan saudara kita adalah sebaliknya, maka begitulah jua yang kita akan rasa.
Dan jelas, sifat hasad dalam diri seorang Muslim itu bertentangan dengan keadaan iman kita. Jauh sekali untuk berada dalam lingkungan sempurnanya iman kita. Kerana Nabi Muhammad sallallahu ’alaihi wa sallam sendiri sering menekan betapa pentingnya untuk kita mengasihi saudara kita sepertimana kita mengasihi diri kita sendiri.
Sabda Nabi, “Salah seorang di antara kalian tidaklah akan beriman dengan sempurna hingga menginginkan untuk saudaranya hal-hal yang dia inginkan untuk dirinya sendiri.” (HR. Bukhari dan Muslim)
3. Mengulangi Dosa Pertama Di Bumi, Bertambahnya Dosa jika ada seseorang yang mempunyai sifat hasad dalam dirinya, pastilah ada pula orang yang dihasadkannya. Biasanya selagi mana orang tersebut tidak tersungkur dalam hidupnya, selagi itu si orang yang ada hasad tadi tidak akan berpuas hati.
Buya Hamka menyatakan di dalam kitab Tafsi al-Azhar bahawa hasad merupakan dosa yang pertama dilakukan di langit dan di bumi. Ia merupakan dosa kepada Allah yang pertama dilakukan di langit dan di bumi. Dosa di langit iaitu dengki Iblis kepada Nabi Adam ’alahissalam. Dan dosa di bumi ialah sifat hasad dengki Qabil kepada Habil yang membawa kepada pembunuhan pertama dalam sejarah manusia.
Sumber: TZKRH.COM