3 loji baharu selesai masalah air

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Masalah gangguan bekalan air di daerah ini dan Kuala Nerus dapat diselesaikan sepenuhnya selepas tiga loji air di dua daerah itu beroperasi sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

Sebanyak 100,000 akaun pengguna di dua daerah berkenaan akan menerima manfaat daripada tiga loji air yang baru disiapkan di Kampung Pulau Bahagia, Bukit Berapit di Bukit Gemuruh dan Losong.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri, Dr Mamad Puteh berkata, pihaknya yakin masalah gangguan bekalan air dan tekanan air rendah di dua daerah itu akan selesai sepenuhnya.

“Sebelum ini, kita hanya mengharapkan Loji Air Kepong dan beberapa lagi loji air lama untuk menampung keperluan penduduk di daerah berkenaan.

“Rata-rata loji air yang sedia ada sudah lama dan mengalami pelbagai masalah dan terbaru masalah pada sistem elektrik dan penapis menyebabkan sebahagian pengguna di Kuala Terengganu terjejas.

“Bagaimanapun semua masalah gangguan bekalan air itu tidak akan berulang apabila loji air baru dibina itu mula beroperasi,” katanya ketika ditemui selepas melawat Loji Air Pulau Bahagia, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Atemin Sulong.

Mamad berkata, 100 juta liter air bersih tambahan sehari (mld) akan disediakan sebelum Aidilfitri bagi keperluan penduduk di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

“Masalah gangguan bekalan air dan tekanan air rendah pada musim perayaan juga diyakini tidak akan berlaku selepas ini.

“Kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM1.3 bilion untuk pembinaan loji air baru di dua daerah itu bagi memastikan semua pengguna dapat menikmati kemudahan itu dengan baik,” katanya.

Sumber: My Metro