3 sekeluarga nyaris maut, rumah terbakar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Shah Alam: Tiga sekeluarga termasuk warga emas dan kanak-kanak nyaris maut apabila terperangkap dalam kebakaran di rumah mereka di Taman Seri Muda, Seksyen 25, di sini, awal pagi hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.38 pagi.

Katanya, susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bergegas ke lokasi dan mendapati api marak membakar rumah dua tingkat dengan keluasan 130 meter persegi itu.

“Difahamkan empat sekeluarga tinggal di rumah terbabit iaitu sepasang suami isteri, seorang warga emas dan kanak-kanak. Tiga mangsa didapati terperangkap manakala seorang lagi (lelaki dewasa) berjaya keluar sebelum api marak.

“Ketika kejadian, dua mangsa iaitu lelaki warga emas berusia 74 tahun dan wanita berusia 35 tahun berada di bahagian dapur dan dikeluarkan mengikut pintu belakang (dapur).

“Anak kepada wanita itu yang berusia enam tahun pula berada di bilik utama rumah berkenaan dan diselamatkan anggota bomba menerusi pintu hadapan selepas api dapat dikawal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, bomba mengalami kesukaran untuk mencari dan menyelamat mangsa pertama ekoran terdapat halangan pintu jeriji semasa operasi dijalankan.

Katanya, kesemua mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan dan mengalami sesak nafas.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.

“Rumah berkenaan terbakar 70 peratus dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Sumber: My Metro