3 Sungai Di Kelantan Catat Paras Bahaya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Tiga Sungai di Kelantan mencatat bacaan melebihi paras bahaya membabitkan Kuala Krai dan Tanah Merah, susulan taburan hujan yang tinggi sejak beberapa hari lalu.

Sungai yang terbabit adalah Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Sungai Golok serta Kampung Jenob di Tanah Merah, yang mana masing-masing menunjukkan bacaan 25.51 meter (m), 24.2 m dan 24.66 m, setakat 8 pagi ini.

Menurutnya laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, empat lagi sungai mencatat bacaan paras amaran iaitu di Sungai Golok, Rantau Panjang; Sungai Aring, Gua Musang; Sungai Kampung Karangan, Kuala Krai dan Sungai Kelantan di Tanah Merah.

Kesemua sungai itu menunjukkan trend air yang semakin meningkat menyebabkan beberapa penempatan sudah mulai digenangi banjir sekali gus mencatat jumlah mangsa banjir yang bertambah di Kelantan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin, menasihati penduduk terutama di kawasan rendah untuk sentiasa berwaspada dengan bah yang melanda selain menekankan mereka yang terbabit supaya segera berpindah jika keadaan air semakin bertambah.

Menurutnya, fenomena itu sudah menjadi lumrah alam yang perlu ditempuhi, namun semua yang terkesan diharap tabah dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini daripada berlaku.

Jelasnya lagi, semua anggota JBPM sentiasa bersiap siaga membantu mangsa banjir selain sudah membuat persiapan awal untuk bertugas dengan norma baharu susulan pandemik Covid-19.

Sumber: My Metro