Berpuasa di bulan Ramadan adalah satu daripada rukun Islam yang diwajibkan bagi umat Islam yang berkemampuan. Definisi puasa dari sudut syarak pula ialah menahan dari perkara-perkara yang membatalkan puasa, seperti menahan diri dari makan, minum, maksiat serta perkara-perkara lain yang membatalkan puasa.
Selain merupakan bulan yang diwajibkan bagi umat Islam berpuasa, bulan Ramdan ini juga bulan yang istimewa kerana pada bulan inilah Al-Quran diturunkan. Dan seperti yang kita tahu bulan ini juga istimewa kerana Ramadan adalah bulan dimana pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan ditutup pintu neraka.
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:
إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ
Maksudnya: Tatkala datang bulan Ramadhan, maka akan dibuka pintu-pintu syurga, akan ditutuplah pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan akan dibelenggu dengan rantai
Riwayat Muslim, (1079)
Darjat Puasa menurut Imam Al-Ghazali
Imam Ghazali RA mengklasifikasikan darjat puasa ini kepada tiga bahagian iaitu:
1. Puasa al-Umum iaitu hanya menahan perut dan Syahwatnya daripada tuntutan nafsunya sahaja. Puasa ini adalah puasa golongan puasa awwam yang sekadar menahan diri dari makan, minum serta menjaga kemaluannya.
2. Puasa al-Khusus iaitu puasa bagi golongan para solihin. Mereka yang berada pada darjat kedua ini akan menjaga pendengaran, penglihatan, percakapan serta seluruh panca inderanya daripada melakukan kemaksiatan dan dosa.
Mereka ini menundukkan pandangan daripada apa yang membalikkan hatinya daripada mengingati Allah SWT. Menjaga percakapan daripada berbohong, mengumpat, mencela dan memaki. Dan mereka selalu memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan membaca al-Quran.
Terdapat 6 cara untuk mencapai tingkat Puasa al-khusus iaitu:
- Menjaga pandangan
- Menjaga Lidah
- Menjaga pendengaran
- Menjaga anggota badan dari melakukan maksiat
- Tidak banyak makan ketika berbuka
- Wujudkan rasa takut dan khauf ketika berbuka
3. Puasa Khusus al-Khusus iaitu puasa yang menjaga hatinya daripada mengingati hal keduniaan. Dan menumpukan sepenuh hatinya hanya kepada Allah SWT dan hari akhirat serta memikirkan dunia hanya untuk tuntutan agama sahaja. Puasa ini merupakan puasa para Anbia’, Sadiqin dan Muqarrabin.
Ramadan bulan membina tabiat kebaikan baru
Bagi orang awam, tentunya bukan perkara yang mudah untuk mencapai tahap ketiga iaitu tahap puasa khusus al khusus, namun di sinilah titik permulaannya. Kita berlatih menjadi lebih baik meskipun tidak sehebat spiritual para nabi dan salafus soleh.
Hikmah Allah mendidik manusia untuk berpuasa adalah untuk memperbaiki diri ke arah kebaikan. Orang yang berpuasa perlu sedaya upaya menahan diri daripada melakukan maksiat selama 30 hari. Mereka digalakkan untuk tidak membalas kejahatan, mengurangkan makan untuk mengawal hawa nafsu, menjaga pandangan mata dan pendengaran dan sebagainya.
Charles Duhigg dalam bukunya The Power of Habits telah memberitahu bahawa membentuk tabiat memerlukan tempoh masa kerana perubahan tidak dapat berlaku secara tiba-tiba. Dan menurut Duhigg, tempoh yang sesuai untuk berlatih perubahan sekurangnya 30 hari. Sesuai dengan Ramadan yang berlangsung selama 30 hari, umat Islam juga sebenarnya sedang melalui madrasah latihan membentuk tabiat baru.
Rasulullah SAW bersabda: “Puasa adalah perisai, maka orang berpuasa janganlah berbuat kotor dan jangan pula berbuat perkara bodoh. Apabila ada orang yang mengajaknya berkelahi atau menghinanya maka katakanlah aku sedang berpuasa dua kali” (Riwayat al-Bukhari).
Justeru, ayuh manfaatkan sebaiknya Ramadan yang kita sedang tempuhi ini untuk mencapai redha Allah dan bertaqarrub denganNya. Moga kita sentiasa direzekikan bangun malam dan dipermudahkan mengawal hawa nafsu.