30 Kenderaan Diarah Patah Balik, Alasan Ingin Ke Pasaraya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

HULU TERENGGANU, 28 Januari – Hampir 30  kenderaan diarahkan berpatah balik setiap hari selepas gagal memberi alasan munasabah ketika ditahan dalam beberapa sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini, dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP 2.0) sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mereka didapati cuba masuk ke daerah itu atas pelbagai alasan dan urusan.

“Kita arahkan mereka untuk berpatah balik selepas memberikan alasan tidak munasabah untuk merentas daerah termasuk ingin membeli barang  tetapi daripada daerah lain.

“Orang ramai perlu memahami prosedur operasi standard (SOP)  yang ditetapkan iaitu membeli bekalan makanan dan keperluan harian di dalam kawasan penempatan pada jarak tidak melebihi radius 10 kilometer,” katanya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI) selepas melakukan tinjauan di SJR Batu 18, Ajil, hari ini.

Menurut Mohd Adli, pihaknya  melaksanakan tiga SJR termasuk dua secara ‘mobile’ dengan kekuatan anggota hampir 100 orang dan dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sejak PKP 2.0 dilaksanakan di Hulu Terengganu.

 Tambahnya lagi, bagi memastikan daerah itu bebas dari zon merah, pihaknya turut membuat pemantauan secara bersepadu bersama agensi-agensi lain seperti Pejabat Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam tempoh 24 jam setiap hari .

“Pasukan pemantauan ini membuat pemeriksaan di premis-premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi di mana kita akan membuat semakan terhadap pelanggan pelanggan serta pekerja-pekerja di premis bagi memastikan mereka mematuhi sop seperti pemakaian, penutup muka, pendaftaran masuk dengan menggunakan Mysejahtera ataupun secara manual serta langkah-langkah pencegahan penjarakan fizikal yang ditetapkan,”ujar Mohd Adli.

Beliau juga berkata, bermula PKP 2.0 sehingga semalam, tidak ada lagi tindakan saman atau kompaun dikenakan kerana tahap pematuhan adalah sangat tinggi dan memuaskan hati.

“Hasil pemantauan di semua premis-premis yang kita buat pemeriksaan didapati masyarakat di daerah ini sentiasa beri kerjasama dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengatasi masalah COVID-19 di  Hulu Terengganu ini,”jelas beliau.

Sumber: TRDI News