30 ORANG PEMAIN INDUSTRI PELANCONGAN TERIMA BANTUAN PRIHATIN PAHANG

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TEMERLOH, 13 OGOS 2021 : Seramai 30 orang pemandu pelancong yang bekerja di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah, Lanchang menerima wang tunai inisiatif Bantuan Prihatin Pahang (BPP), hari ini.

Penyampaian bantuan dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin di hadapan pejabat ADUN Lanchang, di sini.

Menurutnya, bantuan berkenaan adalah fasa ketiga melibatkan keseluruhan 742 orang pemandu pelancong dan pemandu bot di negeri Pahang.

“Sektor pelancongan yang tidak mampu beroperasi sepanjang pandemik menyebabkan ramai pengusaha hilang mata pencarian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin menyampaikan BBP kepada pemandu pelancong yang bekerja di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah, Lanchang.

“Saya berharap agar bantuan ini dapat memberi semangat kepada mereka tambahan pula sektor pelancongan akan kembali beroperasi dalam jangka masa terdekat melalui sasaran gelembung pelancongan,” katanya.

Hadir sama mengiringi beliau ialah Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim.

Dalam pada itu, beliau berharap agar pemain industri pelancongan dapat bersabar sementara menanti pembukaan sektor berkenaan pada tahun ini.

“Jika semua penduduk, pengusaha dan pelancong sudah siap divaksin dan mencapai imuniti kelompok, sudah pasti kita akan memastikan pelancongan kembali beroperasi seperti biasa.

“Sekarang kita sudah berada dalam keadaan bersedia, secara dasar kita mematuhi arahan Kerajaan Pusat seperti tak boleh rentas negeri, maknanya orang Pahang sahaja lah yang boleh melancong (dalam negeri),” katanya.

Katanya lagi, sebab itulah Pahang memperkenalkan gelembung pelancongan yang mensasarkan kawasan-kawasan khusus sahaja yang boleh dibuka kepada pelancong mengikut SOP yang telah ditetapkan. 

Sumber: PAHANGMEDIA