31 Tan Bantuan Makanan Untuk Penduduk Pulau Tioman

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ROMPIN – Sebanyak 31 tan bekalan makanan kering dihantar ke Pulau Tioman sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang akan tiba tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, kerajaan Pahang telah menyediakan bekalan makanan berkenaan dan agihan kepada lima pangkalan hadapan di pulau peranginan berkenaan mula dilakukan kelmarin menggunakan tiga kapal kargo yang disewa khas.

Menurutnya, lima pangkalan hadapan di Pulau Tioman terletak di Kampung Tekek, Kampung Juara, Kampung Mukut, Kampung Salang dan Kampung Genting.

“Apabila berlaku Monsun Timur Laut yang menyebabkan penduduk tidak dapat melakukan semua aktiviti di laut termasuk sektor pelancongan ditutup sementara, bantuan makanan akan diberikan kepada setiap ketua isi rumah (KIR).

“Antara barangan bantuan yang disediakan seperti beras, biskut, gula, tepung, minyak masak, sardin dan kopi. Barangan bantuan tersebut mampu digunakan selama 10 hari termasuk selimut, toto, tuala dan kain pelekat.

“Jabatan akan segera agihkan barangan bantuan apabila berlaku Monsun Timur Laut. Semua barangan tersebut sudah ditempatkan di lima pangkalan hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program misi penyelarasan bekalan makanan persediaan bencana ke Pulau Tioman, di sini semalam.

Turut hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman.

Zulkhairi berkata, tahun lalu pihaknya telah mengagihkan sebanyak 19 tan barangan makanan kepada penduduk Pulau Tioman. Namun kali ini, bertambah kepada 31 tan berikutan tempoh penggunaan bantuan dipanjangkan daripada seminggu kepada 10 hari.

Katanya, setiap tahun projek tersebut akan dilaksanakan. Projek tersebut mampu memberi manfaat kepada lebih 750 KIR dan 2,800 ahli isi rumah di pulau itu terutamanya ketika musim Monsun Timur Laut.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memperuntukkan bantuan pangkalan hadapan di Pulau Tioman sebanyak RM350,000. Beliau sentiasa prihatin dengan nasib rakyat dalam kesusahan.

“Kita mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Pasaraya Darul Makmur (PDM) milik MUIP yang bertanggungjawab sepenuhnya menyediakan barangan terbabit kepada semua 140 pangkalan hadapan di negeri ini,” katanya.

Sumber: MY METRO