Atlet Memanah UniSZA Dinobatkan Atlet Cemerlang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Atlet memanah, Amirul Amin Abd Rahim dan Iman Aisyah Norazam masing-masing dinobatkan sebagai atlet paling cemerlang Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi musim 2022.

Amirul Amin meraih pingat perak dalam Kejohanan Sukan Universiti Asean 2022 di Ubon Ratchattani, Thailand manakala Iman Aisyah yang berasal dari Bukit Katil, Melaka berjaya meraih satu emas dan dua perak dalam kejohanan sama selain satu gangsa pada pentas Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, Mei lalu.

Masing-masing menerima insentif sebanyak RM3,500 dan RM5,400 dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sukan UniSZA 2022 yang diadakan gilang-gemilang di kampus universiti itu malam tadi.

“Bersyukur dan berbangga walaupun sebagai seorang penuntut dan pada masa sama bergelar atlet, kejayaan dihargai oleh pihak universiti.

“Anugerah ini bukan hanya untuk saya seorang, tapi untuk ibu bapa, jurulatih, rakan sepasukan dan tidak lupa pihak universiti serta pensyarah yang memahami dan memberi peluang kepada saya untuk mengembangkan lagi bakat.

“Sekarang saya sedang berusaha untuk merebut tempat dalam skuad kebangsaan bagi saingan Sukan SEA 2023 di Kemboja selain harap terpilih mewakili negara buat kali ketiga dalam kejohanan Sukan Universiti Asean tahun depan,” kata Iman Aisyah yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan ketika ditemui malam tadi.

Bagi atlet para, Muhammad Muzaffar Muammar Gadafi, 18, penyertaan dalam pentas Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 mewakili Kuala Lumpur dalam acara 100 meter (m) dan 200 m Kategori T45 pada September lalu melayakkannya mendapat penghargaan daripada universiti itu.

“Walaupun saya gagal mendapat pingat dalam temasya Para Sukma kali kedua saya sertai itu, saya begitu terharu penghargaan yang diberikan oleh pihak universiti.

“Anugerah ini pastinya menyuntik semangat untuk mengintai peluang mewakili negara seperti idola saya, atlet paralimpik kebangsaan, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi,” kataanak kedua daripada lima adik- beradik itu yang mengambil jurusan Diploma Pentadbiran Islam.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Hafiz Yusoff berkata, matlamat utama majlis berkenaan adalah untuk meraikan kejayaan dan mengiktiraf atlet sekali gus mampu menyuntik semangat mereka dalam misi melahirkan lebih ramai atlet yang bukan sahaja mampu bersaing dalam negara bahkan antarabangsa.

“Kita memberikan insentif kemenangan sukan terutamanya kepada semua pelajar UniSZA dan juga kakitangan, tujuannya untuk memberikan semangat selain menjadi sukan ini sebagai salah satu aspek kecemerlangan di universiti ini.

“Kita dapat saksikan beberapa pencapaian terbaik termasuk dalam Sukan SEA, Sukan Universiti Asean dan juga Sukma, jadi sudah tentu universiti ini akan lebih banyak memfokuskan sukan yang boleh menjadi lubuk emas.

“Fokus itu bukan sahaja di peringkat kebangsaan, tapi juga Asean dan sekurang-kurangnya seorang atlet dapat mewakili negara dalam Sukan Olimpik pada masa akan datang lebih-lebih lagi pencapaian atlet semakin meningkat,” kata Hafiz ketika ditemui pada majlis itu yang turut dihadiri Naib Canselor UniSZA, Profesor Dr Fadzli Adam dan Ahli Lembaga Pengurusan Universiti, Dr Apli Yusoff.

Sumber : BERITA HARIAN