33 Mangsa Banjir Kilat Di Kuantan Dipindahkan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Seramai 33 mangsa banjir kilat di daerah ini dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang dan PPS SK Beserah.
 
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Tuan Ismail Abdul Ghani berkata, kesemua mangsa terlibat dengan banjir di kawasan Sungai Soi, Kempadang, Kampung Rumbia, Beserah, Kampung Bugis dan Kampung Jawa.
 
“Bagaimanapun tiada mangsa direkodkan pada kejadian banjir di Kampung Jawa kerana air telah surut selepas itu dan seramai 24 mangsa kini ditempatkan SK Kempadang manakala seramai sembilan mangsa ditempatkan di SK Beserah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
 
Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat tujuh kawasan terlibat dengan kejadian pokok tumbang iaitu kawasan berhampiran Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad Shah 1, bulatan Jabor, Petronas Balok Makmur, Gebeng, Jalan Jerantut – Benta, Jalan Kemaman, Kampung Darat Beserah, Jalan Kampung Tengah-Seri Teruntum dan Kampung Lamir Jalan Pekan-Kuantan dekat Peramu.
 
Beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika melalui kawasan berisiko banjir terutama ketika musim tengkujuh sedang melanda ketika ini.

Sumber: PAHANGMEDIA