33 Notis Kesalahan Merokok Dikeluarkan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Sebanyak 33 notis telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kepada individu dan pemilik premis atas pelbagai kesalahan merokok membabitkan kompaun berjumlah RM11,250.

Ketua Sektor Kawalan Tembakau KKM Dr Noraryana Hassan berkata, kompaun tersebut mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 itu dikeluarkan menerusi operasi bersepadu penguatkuasaan larangan merokok ke atas 13 premis yang diperiksa di sekitar ibu negara, malam tadi.

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan 21 notis dikeluarkan bagi kesalahan pelanggaran peraturan 11(1) PPKHT  iaitu kesalahan merokok di kawasan larangan dan baki 12 notis juga dikeluarkan bagi kesalahan pelanggaran peraturan 12(1)(a) iaitu tanggungjawab pemilik atau pengusaha tempat makan mempamerkan tanda larangan merokok.

“Operasi ini menumpukan kepada pembanterasan aktiviti menghisap shisha yang juga jatuh di bawah kategori merokok dilihat semakin dipandang remeh oleh kalangan masyarakat. Saya rasa ramai yang mungkin alpa dan berfikir merokok itu hanya tertumpu kepada rokok konvensional dan rokok elektronik sahaja.”

“Mereka mungkin lupa bahawa menghisap shisha di tempat-tempat larangan termasuklah di tempat makan juga adalah satu kesalahan,” katanya.

Operasi bersepadu berlangsung selama kira-kira empat jam bermula 8 malam tadi disertai 65 anggota dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPL) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sementera itu, Timbalan Pengarah Kanan Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr Nor Halizam Ismail berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan lesen membenarkan penyediaan perkhidmatan shisha kepada mana-mana premis dan menegaskan kompaun sehingga RM2,000 akan dikeluarkan kepada mana-mana premis yang gagal mematuhi syarat lesen.

Sumber: BERNAMA