KOTA BHARU – Sejumlah 333 pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dan layak di bawah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Kelantan telah diberi suntikan vaksin COVID-19.
Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Siti Nor Hasma Mat Isa berkata pemberian vaksin kepada baki 810 pelatih lagi akan dilaksanakan secepat mungkin mengikut fasa yang ditetapkan memandangkan OKU adalah antara golongan berisiko tinggi dijangkiti wabak berkenaan.
“Setakat hari ini, daripada 10 PDK di Kelantan, tujuh jajahan melaksanakan suntikan vaksinasi membabitkan pelatih, penjaga, petugas serta penyelia, manakala PDK di tiga lagi jajahan iaitu di Kuala Krai, Pasir Puteh dan Gua Musang akan dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Vaksinasi COVID-19 di PDK Kok Lanas, di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad.
Pada program itu, 68 pelatih daripada PDK Kok Lanas dan PDK Kem Desa Pahlawan bersama ahli keluarga menerima suntikan vaksin COVID-19.
Siti Nor Hasma berkata bagi memastikan program vaksinasi berjalan lancar, pihaknya perlu memastikan jadual antara pihak PDK dan Kementerian Kesihatan seragam dan dilaksanakan dengan baik.
“JKM akan memastikan penerima suntikan vaksin dalam kalangan kakitangan serta pelatih PDK diselesaikan dengan segera mengikut saranan kerajaan.
“Jika vaksinasi dapat dilaksanakan sepenuhnya, perasaan was-was atau takut untuk menjalani proses pembelajaran tidak akan ada dan pasti berjalan seperti biasa, begitu juga dengan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke PDK,” katanya.
Sementara itu Md Alwi berkata beliau melihat keinginan orang ramai untuk mendapatkan vaksin semakin tinggi.
“Bagi anak-anak OKU yang berada di bawah PDK, program outreach akan diteruskan di PDK Melor dan PDK Kadok bagi memudahkan golongan istimewa ini mendapatkan vaksin,” katanya.
SUMBER: Bernama