KUANTAN – Sebanyak 34.275 juta pokok merangkumi lebih 1,000 spesis ditanam di seluruh negara di bawah ‘Kempen Penghijauan Malaysia ‘Pokok Kita, Kehidupan Kita’, setakat 13 Jun lalu, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata, jumlah itu bersamaan 34.28 peratus daripada sasaran 100 juta pokok yang perlu dicapai menjelang 2025 menerusi kempen yang dilancarkan secara rasmi pada Januari tahun lalu.
“Saya menyeru supaya lebih banyak persatuan komuniti, badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan individu untuk sama-sama terbabit dan memainkan peranan lebih aktif kerana insentif pengecualian cukai telah disediakan untuk sumbangan kepada aktiviti konservasi dan Penghijauan Malaysia,” ujarnya.
Takiyuddin turut menyarankan kepada semua pihak supaya mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti pengusahasilan hutan sebaliknya terus memperkasakan pelaksanaan Forest Beyond Timber seperti ekopelancongan, industri herba dan farmaseutikal.
Ini selari dengan tumpuan masyarakat terhadap ekopelancongan selepas pandemik COVID-19 dan kementeriannya juga giat mempromosikan program berasaskan rekreasi sumber asli melalui peruntukan RM9 juta untuk program latihan semula dan peningkatan kemahiran yang diharap menjadikan jabatan perhutanan sebagai pakar bidang rekreasi sumber asli dan tropika dalam serta luar negara.
“Segala usaha dilakukan kerajaan Pahang tidak boleh dianggap mudah atau dipandang remeh. Ini adalah satu pengorbanan besar dan harus dipandang serius serta diberikan penghargaan sewajarnya oleh kerajaan Persekutuan.”
“Kerajaan Pahang amat berharap agar kerajaan Persekutuan dapat membangunkan satu formula yang adil dan mudah untuk menyegerakan proses bayaran pampasan secara tunai ke atas setiap jenis hutan sama ada ekologi-hutan perlindungan, hutan tadahan air atau sebagai habitat perlindungan hidupan liar dikekalkan.”
“Kawasan hutan simpanan kekal ini adalah kos lepas kepada kerajaan negeri,” katanya yang menyifatkan permintaan itu sebagai permintaan munasabah.
Pada majlis itu, Takiyuddin dan Wan Rosdy turut melancarkan buku bertajuk ‘Thriving Our Green Heritage’ sempena sambutan 120 tahun JPSM yang merekodkan pencapaian pengurusan hutan untuk tatapan generasi pada masa akan datang.
Sumber: BERITA HARIAN