Kuala Terengganu: Seramai 341 peniaga yang menjual kelengkapan elektronik dan komunikasi dikenakan notis untuk siasatan lanjut bagi mengesan sekiranya wujud isu pencatutan barangan berkenaan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, penguat kuasa sebelum ini melakukan pemeriksaan terhadap 343 peniaga membabitkan 651 barangan dengan 341 daripadanya dikeluarkan notis untuk membuktikan sama ada wujud elemen mengambil untung berlebihan.
“Notis dikeluarkan untuk mendapatkan maklumat harga dan kos belian barangan berkenaan dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2017 itu sepanjang Ops Catut 8.0 yang bermula 25 Januari hingga 7 Februari lalu.
“Jika siasatan kita menunjukkan peniaga menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya tanpa mematuhi perundangan yang ditetapkan, tindakan lanjut boleh diambil mengikut Seksyen 14 AKHAP 2011 kerana kesalahan mencatut.
“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 sekiranya suatu perbadanan dan sekiranya bukan perbadanan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika melakukan tinjauan pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2021 di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Rosol berkata, pihaknya sedia maklum pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) menyebabkan keberadaan barangan dan harga jualan alat peranti elektronik seperti komputer riba, telefon bimbit, mesin pencetak dan tablet yang mendapat permintaan tinggi.
“Walaupun peranti elektronik dan telekomunikasi tidak tertakluk sebagai barang kawalan, kita tetap melakukan pemantauan bagi memastikan hak pengguna terpelihara, manakala peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya,” katanya.
Mengulas mengenai SHMMP yang bermula 8 Februari lalu, Rosol berkata, sebanyak 5,622 premis diperiksa di seluruh negara terdiri daripada 5,449 premis runcit dan 173 premis borong.
Katanya, sebanyak 56 kes dikesan membabitkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga (21 kes), gagal guna tanda harga khas (34 kes) dan menjual melebihi harga maksimum (satu kes) membabitkan jumlah sitaan bernilai RM2,559.85 dan jumlah kompaun RM6,450.
“Kita mengingatkan peniaga supaya mematuhi peraturan ditetapkan di bawah pelaksanaan SHMMP termasuk tidak menaikkan harga barang kawalan,” katanya.
Sumber: My Metro