352 Saman Lalu Lintas di Terengganu Ketika Ambang Tahun Baharu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu mengeluarkan 352 saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Op Bersepadu Ambang Tahun Baharu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata, ia membabitkan 229 saman ke atas penunggang motosikal, manakala 123 lagi saman membabitkan pelbagai jenis kenderaan termasuk lori, pacuan empat roda dan kenderaan pelbagai guna.

Beliau berkata, tiada lesen memandu, cukai kenderaan tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan tiada cermin sisi antara kesalahan paling tinggi direkodkan.

“Op Bersepadu yang dilakukan serentak di seluruh Terengganu membabitkan lebih 70 pegawai dan anggota itu turut menyita sebanyak sembilan motosikal.

“Kita turut menahan enam individu termasuk pelajar sekolah yang berusia antara 16 hingga 20 tahun yang menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya.

“Mereka yang dikesan melakukan kesalahan itu di daerah Kuala Terengganu, Marang dan Setiu disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Rohaimi berkata, operasi bersepadu itu dilakukan pihaknya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen Terengganu dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan bermula kira-kira jam 8 malam kelmarin hingga 5 pagi semalam.

Katanya, pihaknya menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu.

“Langkah ini bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan dan kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh pemandu atau penunggang serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN