Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan kembali meningkat kepada 3,660 orang setakat 5 petang ini berbanding 3,534 orang pada pagi tadi.
Peningkatan itu berikutan dua pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka di Pasir Mas menjadikan keseluruhannya sebanyak 11 PPS diaktifkan di negeri berkenaan.
Kesemua mangsa banjir membabitkan 1,108 keluarga ditempatkan di 35 PPS di empat daerah iaitu Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir di Pasir Mas paling tinggi iaitu 1,874 mangsa berada di 11 PPS.
Selain itu, Kuala Krai mencatatkan 1,050 orang berada di 19 PPS, diikuti Gua Musang 635 orang di tiga PPS dan Tanah Merah 101 orang di dua PPS.
Sejak Jumaat lalu Kelantan dilanda banjir, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan sehingga petang ini.
Keadaan banjir di negeri ini dijangka pulih minggu ini berikutan cuaca panas terik.
Sehingga petang ini, 12 jalan masih ditutup iaitu enam di Pasir Mas, tiga di Kuala Krai, dua di Tanah Merah dan satu di Machang.
Sumber: My Metro