KOTA BHARU – Seramai 37 guru yang bertugas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa menaiki lori muatan lima tan untuk mengambil kertas soalan Ujian Bertutur di Bilik Kebal SMK Tumpat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Nazah Nafi berkata, tiga anggota Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Tumpat ditugaskan membantu membawa guru terbabit bagi memudahkan tugas berkenaan.
Menurutnya, mereka kemudian menghantar soalan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Geting dan Sekolah Menengah Ugama Maheliah Pengkalan Kubor,Tumpat.
“Kesemua guru berkenaan berkumpul di Pejabat Perpaduan Tumpat sebelum anggota bomba membawa mereka ke lokasi itu.
“Kami menghantar kesemua mereka pada jam 7 pagi. Bantuan diperlukan berikutan jalan hanya boleh dilalui kenderaan berat,” katanya.
Jelasnya, sehingga kini kawasan Wakaf Bharu sudah surut tetapi masih digenangi air.
Sementara itu, banjir di Tumpat dilaporkan masih serius berikutan mangsa meningkat seramai 18,791 hingga jam 7.30 pagi tadi.
Pada Ahad jumlah yang dilaporkan ialah 17,713 mangsa berlindung di PPS.
– SINAR HARIAN