380,002 Individu Terima Vaksin Dos Penggalak Di Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Sebanyak 380,002 individu iaitu 36.2 peratus populasi yang berada di dalam kategori yang layak menerima dos penggalak telah menerima suntikan ini di Pahang setakat kelmarin.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus berkata, pemberian suntikan ini melibatkan 207 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) daripada fasiliti awam dan swasta di seluruh negeri ini.

“Sehingga semalam kita telah capai lebih kurang 36.2 peratus iaitu seramai 380,002 orang mereka yang layak mendapat vaksin dos penggalak ini telah kita beri suntikan. Jadi dengan 207 PPV itu, kita berjaya meningkatkan kapasiti suntikan sehari lebih 20,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Program Pemberian Vaksin Dos Penggalak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bagi 44 Pelatih Orang Kelainan Upaya (OKU) di Kompleks Penyayang, semalam.

Program Pemberian Vaksin Dos Penggalak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bagi 44 Pelatih Orang Kelainan Upaya (OKU) di Kompleks Penyayang, semalam.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 20 individu daripada golongan yang diberi keutamaan iaitu OKU dan warga emas yang terlantar telah menerima suntikan penggalak.

“Kita ada 400 lebih warga emas dan OKU yang terlantar di rumah, dan kita tidak pernah melupakan mereka, dan kita telah laksanakan suntikan (penggalak) di rumah mereka. Sekarang 20 orang telah disuntik.

“Setakat ini 25,508 mereka daripada golongan ini juga telah lengkap dua dos vaksin dan mereka ini layak mendapat suntikan booster ini,” katanya.

Beliau juga menjangkakan kesemua penduduk di negeri ini dapat diberikan suntikan dos penggalak ini dalam tempoh sebulan setengah sekiranya kapasiti disemua PPV dapat dipenuhi.

Mengulas mengenai sijil suntikan vaksinasi digital palsu di negeri ini, beliau berkata tiada laporan yang diterima pihaknya setakat ini dan menasihatkan orang ramai serta pengamal perubatan supaya mempunyai sifat bertanggungjawab.

“Setakat ini kita tidak menerima sebarang aduan daripada public berkenaan isu ini dan kita harap isu ini tidak berlaku di Pahang, dan sebagai pengamal perubatan berdaftar, kita kena ada tanggungjawab dan integriti.

“Sesiapa yang ada maklumat berkenaan perkara ini, boleh kemukakan aduan kepada pihak JKNP supaya siasatan sewajarnya dapat dibuat,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA