4 hari putus bekalan makanan sebelum kibar bendera putih

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

Kota Bharu: Terputus bekalan makanan dan tiada sumber pendapatan, enam sekeluarga dari Kampung Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa terpaksa mengibar bendera putih.

Nor Hamizah Mohd Yusof, 29, dan suaminya, Mohd Romzi Abd Rahman, 38, berkata mereka berdua malu untuk berhutang bagi membeli barang keperluan di kedai runcit kerana bimbang tidak mampu membayarnya semula.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan mereka sekeluarga pernah makan nasi dengan garam bagi mengalas perut.

“Saya dan suami sudah biasa hidup susah, tetapi apabila melihatkan wajah anak-anak yang masih kecil terpaksa melaluinya, kami menjadi sedih.

“Beberapa hari lalu kami kehabisan bekalan makanan dan hanya makan roti, biskut untuk mengalas perut.

“Namun kami bernasib baik, ada individu serta badan bukan kerajaan (NGO) yang datang menghulurkan sumbangan dan kami tidak berlapar lagi selepas mengibar bendera putih,” kata ibu kepada empat anak berusia setahun sebulan hingga lapan tahun.

Nor Hamizah berkata, mereka sekeluarga tiada punca pendapatan selepas Mohd Romzi disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) sejak lima tahun lalu.

Nor Hamizah Mohd Yusof (kiri) dan suaminya, Mohd Romzi Abd Rahman (kanan) bersama empat anak mereka yang berusia antara lapan hingga setahun sebulan ketika ditemui di rumah sewa mereka di Kampung Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Nor Hamizah Mohd Yusof (kiri) dan suaminya, Mohd Romzi Abd Rahman (kanan) bersama empat anak mereka yang berusia antara lapan hingga setahun sebulan ketika ditemui di rumah sewa mereka di Kampung Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

“Kami sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Padang Tembak, namun mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada 2016 selepas Mohd Romzi sakit manakala saya pula perlu menguruskan anak-anak masih kecil.

“Saya ada mengambil tempahan membuat kuih namun tidak selalu. Jabatan Kebajikan Masyarakat ada memberi bantuan RM500 sebulan manakala suami mendapat pencen ilat RM500 sebulan. Kami perlu berjimat cermat kerana sewa rumah RM300 sebulan perlu dibayar,” katanya.

Tambahnya, rawatan dialisis suaminya setiap tiga kali seminggu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian ditanggung sepenuhnya oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sementara itu, Mohd Romzi berkata, dia pergi ke HUSM dengan menaiki motorsikal dan pernah beberapa kali tidur di tepi jalan kerana tidak larat selepas rawatan dialisis.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubunginya di talian 017-9452198.

Terdahulu tular di media sosial, kisah pasangan suami isteri yang tular dalam media sosial, Facebook semalam, selepas keluarga itu terpaksa mengangkat bendera putih ekoran tidak mempunyai bekalan beras sejak empat hari lalu.

Sumber: My Metro