4 Juta Belia Didaftar Secara Automatik Sebagai Pemilih

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Lebih empat juta belia berusia 18 tahun sudah didaftarkan sebagai pengundi secara automatik pada 16 Januari lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia dilakukan menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 2019.

“Pada 16 Januari lalu, pendaftaran automatik pengundi 18 tahun sudah dimuktamadkan. Lebih empat juta anak muda berusia 18 tahun didaftarkan secara automatik.

“Kerajaan sentiasa menghargai peranan anak muda dan bermula tahun ini, anak muda yang berusia 18 tahun akan dapat mengundi menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), di sini, malam ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Pengerusi MAYC, Mohd Syahbuddin Hashim.

Perdana Menteri turut berharap pertubuhan belia seperti MAYC akan memainkan peranan untuk memberikan kesedaran kepada golongan muda mengenai pentingnya proses demokrasi itu.

“Proses ini amat penting bagi memastikan pemimpin yang dipilih adalah benar-benar layak serta mampu menerajui negara.

“Kesilapan memilih pemimpin akan memberikan kesan yang buruk kepada negara pada masa akan datang.

“Memilih pemimpin tidak boleh berasaskan emosi tetapi perlu melalui pertimbangan yang sedalam-dalamnya. Sejarah sudah membuktikan bagaimana negara dunia menghadapi masalah sehingga hari ini disebabkan pemimpin dipilih melalui emosi dan sentimen negatif yang diwujudkan oleh pihak tertentu,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pertubuhan belia dan MAYC perlu sentiasa bersiap siaga menjadi benteng yang mencurahkan taat setia kepada kebenaran, memastikan tiang-tiang seri yang menegakkan negara ini dapat terus dipertahankan.

“Saya menyeru pertubuhan belia untuk bersama-sama kerajaan dalam membawa perubahan yang lebih baik demi menyediakan pemimpin pelapis kepada negara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya pertubuhan belia tidak dijadikan sebagai pentas untuk berpolitik atau kepentingan peribadi.

“Pertubuhan belia perlu berperanan sebagai pemangkin bersama-sama pemegang taruh institusi kerajaan untuk membangunkan anak muda negara.

“Gunakan platform itu untuk memberikan input yang bermanfaat kepada kerajaan supaya dapat bersama-sama membangunkan kembali negara,” katanya yang turut meluluskan peruntukan RM400,000 kepada MAYC.

ISMAIL Sabri menyampaikan anugerah Pingat Jasa Cemerlang kepada penerima sambil diperhatikan Ahmad (kiri) dan Mohd Syahbuddin. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ISMAIL Sabri menyampaikan anugerah Pingat Jasa Cemerlang kepada penerima sambil diperhatikan Ahmad (kiri) dan Mohd Syahbuddin. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Sumber: My Metro