4 Tips mencapai azam di tahun baharu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pejam celik pejam celik kita sudah memasuki tahun 2023. Setiap tahun sentiasa ada momen pahit, manis yang kita lalui sebagai jalan mendewasakan kita.

Dan setiap kali memasuki tahun baharu, pastinya kita akan melakar semula azam dan resolusi baharu sebagai pembuka tahunan untuk merancang kehidupan yang lebih baik.  

Tidak ada sesiapa yang sempurna dalam menjalani kehidupan, justeru kita mengutip semula perca-perca pengalaman tahun-tahun lalu untuk memperbaiki kehidupan yang bakal kita tempuhi ini.

Sifat seorang Muslim adalah sentiasa untuk menjadi peribadi yang baik dari hari ke hari, bulan ke bulan, tahun ke tahun. Dalam melakar azam dan impian yang baharu, terdapat beberapa perkara yang boleh kita lakukan untuk mencapai apa yang kita impikan.

  • Kenalpasti penambahbaikan yang ingin kita lakukan

Antara pesan Murabbi yang sentiasa saya ingati adalah “lepaskan perkara-perkara lalu, jika masih ada kebaikan yang belum kita lakukan maka lakukan segera, dan jika kita telah lakukan kebaikan maka tambahkan kualitinya”. Kata-kata ini menjadi pemangkin untuk kita merefleksi semula apakah kebaikan yang kita ingin lakukan dan mula merancang

Di permulaan tahun ini, ruang masih terbuka luas untuk kita melakukan kebaikan. Maka kita boleh merancang amal kebaikan secara perlahan. Misalnya kita berazam untuk lancar membaca Al-Quran. Penambahbaikan yang kita ingin lakukan ini sebenarnya memerlukan kita untuk berfikir dengan cukup lama dan cukup dalam agar kita benar-benar melakukan perkara-perkara keutamaan bukannya perkara-perkara tambahan yang tidak membantu progress kehidupan.

  • Realistik tanpa drastik

Setelah kita menetapkan azam kita pada tahun ini, ada beberapa perkara yang kita perlu pastikan iaitu memastikan apa yang kita hendak capai itu realistik. Misalnya apabila kita merancang untuk membaca Al-Quran 10 jam sehari, sedangkan kita tahu ia mustahil kerana sebahagian waktu kita perlu bekerja, sebahagian waktu lagi kita perlu makan dan sebagainya.

Sederhanakan matlamat azam meskipun azam kita murni agar ia tidak membuat kita tertekan akibat tidak mampu mencapainya. Selain itu, antara perkara yang kita perlu beri penekanan untuk melaksanakan impian kita itu adalah dengan mementingkan kualiti, bukan kualiti.

Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”

Misalnya meskipun kita hanya mampu membaca Al-Quran 2 jam sehari, namun jika kita dapat lakukannya secara fokus dan teliti ia lebih baik berbanding melakukan 10 jam sehari namun ia hanya bertahan sementara.

Elakkan melakukan sesuatu yang drastik kerana drastik tanpa realistik hanya menjadikan kerja kita lebih muda untuk berhenti separuh jalan. Sentiasa percaya bahawa tidak apa bergerak perlahan, asalkan kita tetap menuju tujuan.

  • Mula merancang progres

Bayangkan anda sedang membina rumah. Konsep rumahnya sudah ada, namun seterusya kita perlu merangka pula apa yang diperlukan untuk membangunkan binaan rumah bermula dari tiang, dinding, tingkap hinggalah ke atap. Justeru, fasa ini adalah fasa kita merancang ‘pembinaan’ kita.

Jika tahun ini kita berazam untuk menguasai seni pemasaran, maka apa yang kita boleh lakukan untuk berprogres ialah memperuntukkan lebih kurang 3 jam sehari untuk ilmu-ilmu pemasaran percuma, membaca 20 m/s sehari buku pemasaran, kemudian memperuntukkan sebahagian waktu untuk mengaplikasikan ilmu pemasaran. Progres ini sesuaikan mengikut masa, kemampuan dan keperluan anda.

  • Letakkan tarikh akhir

Tarikh akhir atau ‘deadline’ biasanya tidak dianggap penting, namun ia sebenanrya merupakan perkara pertama yang peru digarisbawahi dalam melaksanakan apa jua perkara termasuklah perkara yang bukan matlamat kita.

Meskipun kita tahu bahawa ia biasanya tidak dianggap penting, tetapi tarikh akhir akan sentiasa menjadikan kita berdisiplin untuk menyiapkan kerana ada ‘urgensi’ yang memaksa kita bergerak.

Kesimpulan

Impian atau azam kita adalah perancangan yang kita tetapkan untuk masa hadapan. Sebagai Muslim, kita percaya bahawa tindakan yang kita sedang lakukan ini adalah usaha kita, namun yang memakbulkannya tetap Allah SWT.

Ada kalanya impian kita tercapai dengan mudah, ada kalanya perancangan kita memerlukan sedikit pertukaran kerana tuntutan kehidupan kita yang berubah. Tetaplah merancanga dan mulakan perjalanan sebab usaha kita sentiasa ada peranan. Dan dalam masa yang sama tetaplah yakin dengan perancangan Allah kerana setiap perancangan Allah secara hakikinya sentiasa baik untuk kita.