4 waktu terbaik untuk menasihati anak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter


ANTARA tanggungjawab utama ibu bapa adalah memberi pendidikan kepada anak. Begitu juga membesarkanya dengan nasihat yang baik. Renungan kata-kata daripada Imam Ghazali “Anak adalah amanah ALLAH bagi kedua-dua orang tuanya”.


Amanah yang dijalankan perlu seiring dalam mencorak akhlak dan personalliti anak. Lantas bagaimana ingin mengukir akhlak anak-anak agar ia akan tumbuh menjadi baik, beruntung di dunia dan di akhirat? Ia bermula daripada sebuah nasihat. Untuk menjadikan nasihat itu mampu memberikan kesan kepada anak-anak, Ustazah Asma Harun berkongsi di laman sosialnya mengenai perkara ini. Beliau menjelaskan ada empat waktu terbaik yang boleh dijadikan sebagai medan nasihat kepada anak-anak.

DI DALAM KENDERAAN


Sebenarnya, waktu bersama anak di dalam kenderaan adalah waktu yang terbaik untuk berbicara dari hati ke hati. Hal ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada Ibnu Abbas RA yang masih kecil ketika itu.


Daripada Ibnu Abbas beliau berkata, “Nabi SAW diberi hadiah seekor baghal (sejenis haiwan hasil kacukan antara kuda dan keldai) oleh Kisra. Baginda menungganginya dengan tali kekang dari serabut. Baginda memboncengkanku di belakangnya. Kemudian Baginda berjalan. Tidak lama, Baginda menoleh dan memanggil, “Hai anak kecil.” Aku jawab “Labbaika, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda, “Jagalah agama ALLAH nescaya Dia menjagamu…” (Hadis Riwayat Hakim, Hadis Gharib)


Situasi seperti ini tetap relevan dan boleh diaplikasi oleh kita sebagai ibu bapa terhadap anak-anak di zaman sekarang.
Di dalam kenderaan, ibu bapa boleh perlahankan radio dan mula bercerita kisah-kisah yang mengandungi teladan kepada anak-anak.

Jika anak sudah remaja, banyakkan buka ruang untuk mereka berkongsi cerita atau perasaan, kerana pada usia ini mereka sangat teruja mempelajari tentang kehidupan, perasaan sedih, kecewa, kagum, bercita-cita, dan lain-lain.

Pemandangan mereka hanya tertumpu ke hadapan dan fokus mereka hanya terhad kepada suasana tertutup di dalam kereta. Hal ini memudahkan mereka fokus kepada apa yang diperkatakan oleh ibu bapa.

KETIKA DI MEJA MAKAN


Sewaktu di meja makan, kebiasaannya ahli keluarga akan mengambil peluang untuk bergilir berkongsi cerita masing-masing dengan teruja.
Sebenarnya ibu bapa boleh manfaatkan peluang untuk sampaikan nasihat dalam nada yang lebih santai. Namun, harus diingati agar tidak menegur sampai menjatuhkan air muka mereka.

SELEPAS SOLAT


Suasana selepas solat berjemaah bersama keluarga terasa sangat hening. Ibu napa boleh gunakan saat bersalaman untuk berbicara dengan anak-anak tentang nasihat, teguran atau apa sahaja perkongsian untuk kehidupan mereka.
Sesekali pujilah anak-anak atas apa jua pencapaian mereka. Beritahu bahawa kita bangga mempunyai anak yang baik, soleh, lemah lembut dan mendengar kata. Pujian yang diberikan oleh ibu bapa antara motivasi terbaik buat anak-anak.

SEBELUM TIDUR


Waktu sebelum tidur adalah waktu yang sangat tenang. Ketika itu otak anak sudah bersedia untuk rehat dan berada dalam keadaan separa sedar. Ibu bapa boleh berbisik lembut ke telinga anak tentang nasihat-nasihat baik yang mereka ingin sampaikan.

Ketika ini juga merupakan waktu yang sangat istimewa buat ibu bapa yang sibuk bekerja seharian kerana mereka dapat benar-benar menatap wajah anak tersayang. Biasanya, apabila anak sudah letih apabila memasuki waktu tidur, maka mereka secara sukarela akan menadah apa sahaja yang disampaikan oleh kedua orang tua. Peluang ini sangat baik dimanfaatkan untuk apa jua nasihat buat si anak.

Anak lahir bagai kain putih. Yang menjaganyalah akan mewarnakan anak itu dengan apa. Tidak ada anak yang lahir terus berbuat baik, tiada juga anak yang lahir terus berbuat jahat. Anak itu pasti belajar dari apa yang didengar dan dilihat.


Rasulullah SAW bersabda, “Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan bersih melainkan dua orang tuanya yang bertanggungjawab mencorakkannya menjadikan Yahudi atau Nasrani atau Majusi.” (Hadis Riwayat Imam Baihaqi dan Muslim)

Sumber: Sinarislamplus