40 Individu Pengotor Dikompaun

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU –  Seramai 40 individu pengotor di daerah ini dan Kuala Nerus dikenakan  kompaun serta merta atas tindakan membuang sampah di merata-rata di kawasan tumpuan awam.

Antara kawasan terlibat Pantai Batu Burok, perkarangan  Jambatan Angkat, Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di sini dan Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus.

Kompaun antara RM50 hingga RM25O itu dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sejak dua minggu lalu.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak,  berkata langkah itu diambil susulan pertambahan pengunjung ke negeri ini selepas memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) sekali gus menyebabkan peningkatan sampah sarap yang dibuang individu tidak bertanggungjawab.


“Terengganu kini telah menguatkuasakan tindakan terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah di  merata-rata tempat terutama membabitkan lokasi tumpuan awam.

“Sebelum ini, tindakan sama juga telah diambil bagi membendung kesalahan ini, namun ia terhenti seketika ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak pandemik Covid-19 menular di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan insentif dan merasmikan sesi libat urus bersama 13 badan bukan kerajaan (NGO) Sukarelawan Kebersihan di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, setiap NGO tersebut menerima peruntukan RM3,000 sebagai insentif dan sokongan terhadap usaha berterusan yang dijalankan bagi memastikan tahap kebersihan terutama melibatkan lokasi tumpuan pelancong di negeri ini.

Sumber: TRDI News