40 Notis Saman Lalu Lintas di Kelantan Dikesan Melalui Dron

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan 40 notis saman kepada pemilik kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas yang dikesan melalui pemantauan dron sejak semalam.

Pengarahnya Mohd Misuari Abdullah berkata antara kesalahan tertinggi yang dikesan adalah memotong garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan dan melawan arus, memandu melebihi had laju serta gagal patuhi lampu isyarat.

“JPJ Kelantan memberi amaran kepada pengguna jalan raya agar tidak melanggar peraturan lalu lintas kerana JPJ turut mempunyai ‘mata di udara’ bagi mengesan apa jua kesalahan yang dilakukan.

“Antara lokasi utama pemantauan menggunakan dron adalah di kawasan kerap berlaku kemalangan termasuk jalan utama negeri Kota Bharu-Kuala Krai-Gua Musang dan Kota Bharu-Pasir Puteh-Jerteh, Terengganu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Misuari berkata dengan penggunaan dron banyak kesalahan oleh pemandu dikesan, sekali gus berjaya mengelak daripada berlakunya kemalangan.

“Sejak hari pertama Op Tahun Baharu Cina, sejumlah 726 notis saman dikeluarkan oleh JPJ Kelantan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans,” katanya.

— BERNAMA