40 pegawai, anggota IPD Gua Musang dikuarantin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Gua Musang: Seramai 40 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Gua Musang dikuarantin dua minggu di kediaman serta kuarters masing-masing kerana mengalami simptom Covid-19.

Mereka mengalami gejala terbabit hasil kontak rapat dengan orang ramai ketika bertugas.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, kesemua pegawai dan anggota berkenaan sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Sebelum ini, ada pegawai dan anggota IPD ini yang positif Covid-19 namun sudah sembuh.

“Kali ini, jumlah yang dikuarantin adalah besar. Kami akan penuhi keperluan harian mereka bersama keluarga seperti penyediaan makanan dan sebagainya,” katanya di IPD berkenaan.

Beliau ditemui pada penyerahan 40 pek makanan termasuk barangan dapur sumbangan Kelab Lion yang disampaikan wakilnya, Tan Teoh Teik Choon.

Sementara itu, Teik Choon berkata, pihaknya prihatin dengan nasib pegawai dan anggota yang dikuarantin itu.

“Kami berterima kasih di atas pengorbanan pegawai dan anggota polis ini.

“Kerana itu, kami menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Sumber: My Metro