40 Pencarum Terengganu Sertai SKSSR

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BESUT: Seramai 40 pencarum di Terengganu menyertai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) selepas skim itu dilancarkan pada 1 Disember lalu.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Terengganu, Farihah Che Husin, berkata jumlah penyertaan pencarum dijangka terus meningkat kerana skim itu memberi perlindungan terhadap golongan suri rumah sama ada sepenuh masa atau separuh masa.

Katanya, perlindungan turut diberikan kepada wanita yang berkahwin atau ibu tunggal, sama ada mereka mempunyai anak atau tidak.

“Bayaran caruman hanya serendah RM10 sebulan dan dibayar sekali gus untuk tempoh setahun, berjumlah RM120.

“Antara faedah di bawah Perlindungan Bencana Domestik ialah faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmani atau dialisis, faedah pengurusan mayat dan pencen penakat.

“Di bawah Perlindungan Keilatan, antara faedah diperoleh ialah elaun keuzuran, elaun layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmani atau dialisis, faedah pengurusan mayat serta pencen penakat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Farihah berkata, pencarum wanita yang berdaftar di bawah skim lain boleh membuat tambahan perlindungan melalui SKSSR.

Sebagai contoh, katanya, bagi suri rumah separuh masa, dia akan dilindungi di bawah skim keselamatan untuk suri rumah, apabila dia pulang dari tempat kerja untuk melakukan tugasan suri rumah seperti ke pasar atau mengambil anak di Taska.

“Jika berlaku keuzuran atau kecacatan kekal, suri rumah ini akan menerima elaun bayaran bulanan RM300 sehingga mencapai umur 55 tahun atau meninggal dunia.

“Sekiranya pencarum meninggal dunia sebelum mencapai umur 55 tahun, bayaran faedah pengurusan mayat RM 2,000 sekali bayar serta pencen penakat RM 300 sebulan akan dibayar kepada waris,” katanya.

Katanya, caruman boleh dibuat oleh suami, suri rumah, keluarga atau mana-mana pihak ketiga bagi pencarum.

“Caruman boleh dibuat melalui Pejabat PERKESO atau melalui portal Suri Rumah PERKESO atau laman web rasmi PERKESO,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN