KUALA LUMPUR – Kemboja mencipta sejarah tersendiri apabila bakal mempertandingkan 40 jenis sukan termasuk seni mempertahankan diri kebangsaan tuan rumah iaitu Kun Bokator pada Sukan SEA ke-32 di Kemboja tahun depan.
Majlis Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan jumlah itu adalah tertinggi disahkan untuk mana-mana negara yang menganjurkan temasya itu buat kali pertama sejak 1977.
Penambahan jenis sukan pada edisi di Kemboja mungkin berlaku sekiranya permintaan pencak silat diterima oleh mesyuarat Majlis SEAGF yang akan diadakan pada Jun depan.
Seperti kebiasaan, dua sukan teras iaitu olahraga dan akuatik mengetuai senarai sukan yang sah dipertandingan pada Sukan SEA Kemboja 2023, manakala polo air kembali dipertandingkan selepas ia digugurkan pada edisi di Hanoi, Vietnam tahun ini.
Sebanyak 28 jenis sukan di bawah kategori dua, menyaksikan gabungan acara Sukan Olimpik, Asia dan sukan tradisional.
Di bawah kategori tiga menyaksikan sukan popular dan meningkat naik e-sukan, diikuti jetski disenaraikan sama seperti sukan mempertahankan diri, Kun Bokator manakala seni bela diri Korea akan membuat kemunculan pertama di temasya itu.
Beberapa sukan termasuk kriket, ekuestrian, pencak silat dan lari berhalangan tidak disenaraikan dan akan diputuskan pada mesyuarat akan datang.
Untuk rekod, Brunei, Vietnam dan Laos menyenaraikan masing-masing 21, 32 dan 29 sukan sukan pada kali pertama mereka menganjurkan temasya dwitahunan itu.
Berikut senarai 40 sukan yang akan dipertandingkan di Sukan SEA 2023 di Kemboja:
Kategori Satu: Olahraga (trek dan padang, maraton) dan Akuatik (renang, terjun, polo air)
Kategori Dua: Badminton; Bola Keranjang (5×5 dan 3×3); Tinju; Billiard; Berbasikal (Lebuh raya dan MTB); Kanu dan mendayung (termasuk perlumbaan bot tradisional); Catur (Ok Chaktrong, Asean dan Xiangxi); Sukan Tari; Lawan Pedang; Bola Sepak; Golf; Gimnastik (aerobik dan artistik); Hoki (termasuk dalam dewan); Judo; Karate; Muay; Petanque; Perahu Layar; Sepak Takraw (termasuk chinlone); Soft Tennis; Tenis; Ping Pong; Taekwondo; Triatlon (termasuk akuatlon dan duatlon); Bola Tampar; Gusti; Angkat Berat dan Wusyu.
Kategori 3: Arnis; Bina Badan; E-Sukan; Floorball; Jiujitsu; Jetski; Kick Boxing; Kun Bokator; Vovinam; Seni Bela Diri Korea.
Sumber: BERNAMA