JERANTUT – Kira-kira 400 kilogram (kg) ikan patin licin dalam tempoh dua jam selepas diagihkan kepada penduduk di Kampung Ulu Cheka dan Perlok di sini pada Sabtu.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Ulu Cheka bermula jam 10.30 pagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Zuridan Mohd Daud berkata, program itu julung kalinya memilih ikan patin sebagai sumbangan kepada penduduk terlibat.
“Sebelum ini kita mengagihkan ayam kepada penduduk sekitar.
“Untuk kali ini, kita sebenarnya membantu pengusaha ikan patin sangkar di kawasan ini yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Menurut beliau, program dijalankan secara pandu lalu dengan hanya seorang wakil penduduk mengambil ikan tersebut yang diagihkan secara percuma.
Tambahnya, program berjalan lancar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Diharap sumbangan sebegini dapat memberikan keceriaan kepada penduduk dan penternak terlibat,” jelasnya.
Sumber: Sinar Harian