43 individu dikompaun ‘bersesak’ di muara utara Jambatan Angkat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Kedegilan segelintir individu berkumpul di kawasan muara utara Jambatan Angkat (Drawbridge), di sini, membawa padah apabila dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Dalam Op Pematuhan Aildilfitri bermula kira-kira 5.30 petang hingga 7 malam itu, seramai 43 individu masing-masing dikompaun RM4,000 setiap seorang.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, pihaknya melakukan rondaan untuk memantau pematuhan SOP ketika perayaan Aidilfitri.

Menurutnya, pasukan rondaan mendapati orang ramai berkumpul dan beriadah tanpa mengamalkan penjarakan fizikal di kawasan berkenaan.

“Justeru, tindakan kompaun diambil terhadap mereka mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah -Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, lapan pasukan pemantau digerakkan untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan bermula Khamis lalu seperti aktiviti ziarah Aidilfitri, ziarah kubur dan tempat tumpuan awam.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak berkumpul di kawasan tumpuan awam bagi mengekang penularan Covid-19.

“Kalau di kawasan pasar raya dan pusat beli-belah, kita boleh kawal kerana mereka ini membuat pendaftaran melalui MySejahtera.

“Jika berlaku jangkitan, kita boleh kesan mereka, namun jika di tempat awam ini, sukar untuk kita kawal.

“Justeru, kita berharap orang ramai tidak pandang remeh isu ini. Kita bukan sengaja mahu mengeluarkan kompaun namun, tindakan perlu diambil untuk mengelak penularan Covid-19,” katanya.

Sumber: My Metro