Kuantan: Seramai 45 individu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sebuah restoran di Jalan Teluk Sisek, di sini, malam tadi.
Serbuan pada 11.55 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan diketuai Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.
Mohamad Noor berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebahagian besar pelanggan di restoran itu gagal mematuhi SOP PKPP iaitu tiada penjarakan fizikal satu meter antara pelanggan.
Beliau berkata, dua pelanggan dikesan gagal mengimbas kod aplikasi MySejahtera termasuk seorang daripadanya cuba menipu dengan menunjukkan sudah mengimbas di restoran itu, tetapi bertarikh 21 April lalu.
“Ada pelanggan masih tidak faham dan kononnya mendakwa tidak tahu SOP membabitkan jarak satu meter.
“Kompaun dikeluarkan ini kerana keadaan sangat rapat dan kami tidak boleh berkompromi dalam usaha menyekat penularan wabak Covid-19.
“45 individu dikompaun itu membabitkan 38 lelaki dan tujuh wanita,” katanya dalam kenyataan media.
Mohamad Noor berkata, semua individu terbabit dikenakan kompaun mengikut kesalahan kategori ketiga Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana kesalahan tiada penjarakan fizikal dengan nilai kompaun antara RM1,500 hingga RM2,000 setiap individu.
Katanya, kompaun turut dikenakan terhadap pemilik premis atas kesalahan sama dengan jumlah kompaun RM10,000 kerana gagal memastikan pelanggan mematuhi SOP walaupun memberi alasan sudah menasihati pelanggan.
“Bagaimanapun, pada saya jika pelanggan ingkar, pemilik restoran sepatutnya menghubungi pihak berkuasa sama ada polis atau pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Dalam kes ini, saya kesal dengan sikap peniaga dan pelanggan yang tidak peduli dan tidak mahu mematuhi SOP.
“Oleh itu, polis akan meneruskan pemantauan pematuhan SOP dari semasa ke semasa dan tiada kompromi jika ada yang melakukan kesalahan,” katanya.
Sumber: My Metro