TEMERLOH – Seramai 4,504 pelajar di Parlimen Temerloh menerima Pahang Pride Student dengan jumlah keseluruhan RM1.35 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin berkata, selain daripada Majlis Pelancaran Pahang Pride Student, seramai 1,973 pelajar daripada 46 sekolah turut menerima Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) membabitkan peruntukan RM591,900.
“Manakala seramai 2,531 pelajar daripada 19 sekolah pula turut menerima Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) berjumlah RM759,300,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan menerusi laman sosial Facebook miliknya selepas menyampaikan BSR dan BSM Yayasan Pahang dan Pelancaran Pahang Pride Student Peringkat Parlimen Temerloh di Dewan Tun Razak, Temerloh.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Semantan, YB. Dato’ Nor Azmi Ludin, Pengurus Unit Capaian Komuniti, Yayasan Pahang, Puan Safwati Ahmad, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Temerloh, Encik Mohd Affendey Haji Mohd Saad dan semua Guru Besar Sekolah yang terlibat di Parlimen Temerloh.
Pahang Pride Student telah dilancarkan pada 22 Februari lalu oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Kuantan yang dijangka dapat memberi manfaat kepada 238,000 pelajar di seluruh Pahang.
Sumber: PAHANGMEDIA