45,048 Mangsa Banjir Di Johor Pagi Ini, Batu Pahat Paling Terjejas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Batu Pahat masih meningkat manakala di lima daerah lain, terus menurun manakala satu daerah jumlah kekal, pagi ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata setakat jam 8 pagi ini, seramai 45,048 mangsa banjir daripada 12,746 keluarga yang ditempatkan 186 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah terjejas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, jumlah itu meningkat berbanding 42,851 orang (12,083 keluarga) yang ditempatkan di 186 PPS pada jam 8 malam tadi.

“Di Batu Pahat, jumlah mangsa banjir sudah meningkat sehingga mencecah 35,099 orang (9,835 keluarga) di 106 PPS berbanding 32,312 orang (8,986 keluarga) pada jam 8 malam tadi,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Lima daerah menunjukkan penurunan jumlah mangsa banjir adalah Muar, Tangkak, Segamat, Mersing dan Kluang.

“Di Muar, jumlah mangsa banjir menurun kepada 4,094 orang (1,225 keluarga) di 21 PPS; Tangkak pula kini menempatkan 2,436 orang (766 keluarga) di 20 PPS dan di Segamat pula kini tinggal 1,444 mangsa banjir (367 keluarga) di 24 PPS.

“Mersing juga mencatatkan penurunan jumlah mangsa banjir kepada 791 orang (220 keluarga) yang ditempatkan di lima PPS dan Kluang pula dengan jumlah mangsa banjir berkurang kepada 477 orang (133 keluarga) di empat PPS,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, hanya Kota Tinggi yang masih kekal dengan jumlah mangsa banjir seramai 707 orang (200 keluarga) di enam PPS,” katanya.

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tiada mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan atau ribut petir di semua daerah di Johor.

Bagi laporan cuaca sebenar pula setakat pagi ini menunjukkan semua daerah di negeri ini dilaporkan cerah.

Sumber: BERITA HARIAN