46 Lokasi Bazar Ramadan, Sahur dan Aidilfitri di Kuantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Sebanyak 46 lokasi bazar akan beroperasi sepanjang Ramadan kali ini bagi memudahkan orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa.

Setiausaha Bandaraya Kuantan, Mohd Nizam Mahayuddin berkata, kebenaran itu membabitkan 39 bazar Ramadan di pelbagai lokasi sekitar Kuantan.

ADVERTISING

“Selain itu, enam bazar Aidilfitri dan satu bazar sahur turut disediakan bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada penduduk sekitar.

“Ini bukan sekadar memberi peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan, tetapi juga menghidupkan suasana Ramadan yang lebih meriah di Kuantan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut melaksanakan program kitar semula minyak masak terpakai sebagai langkah mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Menurutnya, tiga lokasi bazar telah ditetapkan sebagai pusat pengumpulan minyak masak terpakai, iaitu di bazar Ramadan Taman Tas, bazar Ramadan di hadapan TMG Mall Tanjung Lumpur serta bazar Ramadan di hadapan Pasaraya Pantai Selamat, Indera Mahkota 3.

“Kita menggalakkan orang ramai untuk menyertai inisiatif ini dengan menghantar minyak masak terpakai mereka ke lokasi yang disediakan bagi memastikan pengurusan sisa yang lebih mampan,” katanya.

Sumber : SINAR HARIAN